Sunday, May 31, 2009

Terkenang Semula Warigh-Warigh Kito.

Arwah Haji Adam Bin Hj. Abd Karim.(Segak Bergaya)
Arwah Khalijah (Cik Lijah) Bersama Arwah Hj. Adam (Cantik Dan Handsome)
Arwah Hj. Nawawi B. Hj Sulaiman (berkacamata hitam). Hj. Nazri B. Hj Adam (kanan sekali)
Segak bergaya Haji Nazri bersama motosikal kesayangannya.
Dari kiri: Mohd Khalid,Mazlan,Mohd Fuad,Farizah,Mohd Rafiq.(Rambut kerinting kurang pasti orangnya)

Sewaktu pulang ke kampung pada 30/05/09, penulis mengambil kesempatan menziarahi Tuan Hj. Nazri di rumahnya di Taman Tuanku Puan Chik, Bahau.Beliau yang masih lagi agak kurang sihat kerana mengalami sakit lelah, masih mampu melayan kedatangan penulis di rumahnya.Kesempatan itu jugalah penulis gunakan untuk mendapatkan beberapa gambar lama untuk dipaparkan bagi tatapan warigh-warigh yang lain.Dalam pertemuan tersebut, banyak juga perkara yang kami bincangkan dan ia adalah satu pertemuan yang bermakna sekali.Dari bab kekeluargaan hinggalah ke bab keagamaan, semuanya dibincangkan dalam suasana yang amat mesra sekali.Penulis ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Tuan Haji Nazri kerana meminjamkan gambar-gambar lama ini.Marilah kita sama-sama mendoakan agar penyakit lelah yang dialami oleh beliau tidak berlarutan dan diberikan kesihatan yang baik oleh Allah swt.Penulis juga difahamkan bahawa Tuan Hj. Hisham B. Dato' Hj. Zainal bersama ibunya juga turut menziarahi Tuan Haji Nazri pada keesokan harinya.

Kubur Darek - Tempat Bersemadinya Warigh-Warigh Kito.

Jalan Masuk Ke Kubur Darek.
Kubur Arwah Tuan Guru Haji Abd. Majid B. Hj. Abd. Karim.
Kubur Arwah Tuan Guru Hj. Mustafa Bin Hj. Ahmad.
Kubur Arwah Hj. Mohamad Salleh B. Jawal.

Pondok Untuk Bertahlil.
Kubur Darek memang tempat persemadian beberapa warigh-warigh Menuang.Apabila berlakunya kematian di antara warigh-warigh, maka kubur Dareklah yang selalu dipilih dalam urusan pengkebumian.Maka tidak hairanlah apabila setiap Hari Raya (AidiIlfitri atau Aidil Adha),kubur Darek akan dipenuhi oleh anak-anak cucu warigh-warigh Menuang yang pulang ke kampung menziarahi warigh-warigh yang telah pergi dahulu menemui Illahi.
Penulis sempat menziarahi beberapa kubur yang ada sewaktu berpeluang pulang ke kampung baru-baru ini.Walaupun berada seorang diri sahaja di kubur-kubur yang ada, namun penulis merasakan seolah-olah kedatangan penulis membawa beberapa bekalan berupa bacaan ayat-ayat suci Al-Quran kepada arwah-arwah yang ada, disambut oleh warigh-warigh yang sudah tiada lagi.Sewaktu berdoa di kubur arwah-arwah ini, penulis merasakan bacaan doa tersebut diaminkan bersama oleh orangramai dan ini menguatkan lagi semangat penulis untuk terus berada di perkarangan kubur tersebut walaupun berada seorang diri.Mungkin inilah dia kebesaran Allah dan pengalaman ini adalah satu pengajaran kepada kita bahawa suatu hari nanti kita juga akan berada di kelompok arwah-arwah ini di alam barzakh.Semoga Allah mencucuri rahmatNya kepada semua warigh-warigh serta penghuni-penghuni kubur yang telah lama bersemadi di Darek.Al-Fatihah.

Sunday, May 24, 2009

Ya Qadhial Hajaat Untuk Warigh Menuang.

Jemputan perkahwinan di antara Awanis Bt. Muhammad Sharif dengan pasangannya Wan Ahmad Zuwairi Bin Wan Ishak akan berlangsung pada 7hb. Jun 2009 bersamaan Hari Ahad, bertempat di Dewan Orangramai Ampang Jaya.Bagi warigh-warigh yang telah menerima undangan ini, diharap dapatlah sama-sama kita hadir bagi memeriahkan lagi majlis perkahwinan kedua mempelai ini.Disamping itu sama-samalah kita berdoa ke hadrat Illahi agar perkahwinan kedua mempelai ini diberkati dan dipanjangkan jodoh mereka hingga ke akhir hayat.

Doa Untuk Kedua Pengantin.

"Ya Allah, berkatilah perkahwinan kedua mempelai ini, jadikanlah perjodohan keduanya beroleh kebaikan dan saling cinta mencintai.Kurniakanlah keduanya zuriat keturunan, anak,cucu,cicit,perempuan dan lelaki yang soleh.Permudahkanlah keduanya beroleh rezeki dan peliharalah keduanya dari tipu daya makhluk-makhluk lain dengan rahmatMu, wahai Tuhan Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Ya Allah, rukun dan damailah hidup keduanya serta beramal yang baik dan iman yang teguh.Ramaikanlah anak-anak mereka serta soleh dan janganlah dijadikan keduanya dalam keadaan bersengketa dan fitnah dengan kemurahan dan kemuliaanMu, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Ya Allah, jadikanlah keduanya hidup rukun damai sebagaimana Engkau jadikan antara Adam Dan Hawa, sebagaimana damainya antara Musa Dan Harun, dan sebagaimana damainya antara Yusof dan Zulaikha, dan sebagaimana rukun damainya antara Nabi Muhammad s.a.w dengan Khadijah Al-Kubra.
Ya Allah, berkatilah hidup dan perjodohan keduanya, wahai Tuhan yang memiliki seluruh alam."

Ini adalah doa yang selalu penulis bacakan apabila dijemput oleh beberapa sahabat ke majlis perkahwinan yang diadakan.Insya'allah semoga doa ini akan dapat dimanafaatkan oleh warigh-warigh yang lain.

Thursday, May 21, 2009

Hebahan Untuk Warigh-Warigh.

Laman Web ini adalah laman web yang dibangunkan oleh salah seorang warigh iaitu Saudara Mohammad Fuad Bin Mohd Salleh bersama rakan-rakannya.Laman web ini boleh dilayari di alamat http://www.forexcafe.com.my. Tujuannya adalah untuk membantu warigh-warigh khasnya dan orang-orang Melayu agar tidak kehilangan arah ataupun mengalami kerugian apabila cuba menjana pendapatan melalui permainan Forex.Forex ini adalah satu sistem trading di mana pertukaran wang berlaku apabila kita berurusniaga jual dan beli secara spontan.Bagi warigh-warigh yang berminat bolehlah melayari web tersebut dan sebarang kemusykilan bolehlah terus menghantar email kepada tuan punya web tersebut kerana mereka lebih arif dalam urusan Forex.
Bagi warigh-warigh yang ingin mewar-warkan perniagaan mereka yang lain, bolehlah berhubung terus dengan penulis untuk diiklankan ke dalam blog ini.Tiada caj dikenakan kerana prinsip blog ini juga adalah untuk membantu semua warigh-warigh yang ada.

Friday, May 15, 2009

Hiburan Untuk Warigh-Warigh.



Lagu ini mungkin secara kebetulan pernah terjadi dalam kehidupan kita dahulu kala.Maklum sajalah, kita semua berasal dari kampung, bergelumang dengan lumpur di sawah bendang dan menerokai kehidupan yang serba kekurangan dulu.Namun ada juga yang bernasib baik kerana semua kemudahan telah ada sewaktu mula-mula mencelikkan mata ke dunia ini tetapi kesusahan yang pernah dialami oleh ibu,ayah,datuk atau nenek kita perlu juga kita kaji.Kepayahan mengharungi kehidupan mereka-mereka inilah yang telah membawa kesenangan bagi kita sebagai generasi baru sebagai pelapis Warigh Menuang Karim.

Wednesday, May 13, 2009

Aktiviti Anak Warigh Menuang.

Aktiviti pada 28/04/1968 ketika berumur 20 tahun.

Aktiviti Tahun 2008.(Syamsul Redzuan@Along)

Kalau dahulu pada tahun 1968, beliau amat meminati bidang muzik sehingga menganggotai sebuah kumpulan dengan berperanan sebagai pemain gitar utama.Lagu-lagu dendangan A.Ramlie, L.Ramli, Jeffrydin dan lain-lain sekitar 60an menjadi kegilaan anak-anak muda ketika itu.Namun segalanya hanyalah tinggal kenangan kerana aktiviti bermain alat muzik ini hanyalah sebagai pengisi masa lapang bagi beliau.
Apabila meningkat dewasa, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Along lebih menumpukan minatnya kepada bidang kejuruteraan elektronik.Beliau pernah dilantik sebagai "Specialist Engineer" apabila beliau bekerja di sebuah kilang elektronik terkemuka "Motorola" sewaktu di Pulau Pinang.Berbekalkan pengalaman kerja bertahun-tahun maka beliau berhijrah pula ke Kuala Lumpur dan bekerja dengan "Technology Resources Industry" (TRI) sehinggalah beliau berjaya untuk menubuhkan syarikatnya sendiri iaitu Arah Destini Sdn. Bhd.Kemajuan pesat teknolgi di Malaysia khususnya apabila talipon bimbit mula dikenali, maka tidak hairanlah apabila syarikat Arah Destini Sdn. Bhd mendapat beberapa kontrak bersama Celcom Malaysia untuk membekal dan memasang alat pemancar di seluruh negara.
Kini beliau tidak lagi menumpukan kepada perniagaannya namun beralih minat kepada pembuatan kapalterbang dan permainan helicopter control.Kepakarannya memasang enjin jet serta membuat kapalterbang adalah dari usahanya sendiri yang tidak pernah jemu untuk menimba ilmu dalam apa bidang sekalipun.Ini perlu dicontohi oleh anak-anak muda yang lain kerana dalam pembelajaran, tidak terbatas kepada umur seseorang.

Tuesday, May 12, 2009

Perkahwinan Warigh Menuang.


Perkahwinan Safuan & Dayang.


Mohd Syafiq Bin Shaharuddin

Ini adalah di antara video perkahwinan salah seorang warigh Menuang.Beliau ialah Safuan Bin Abdul Wahab yang bertemu jodohnya dengan gadis dari Sarawak.Kemeriahan perkahwinan mereka berlangsung di Pandan Indah dan dihadiri oleh beberapa tetamu jemputan.
Bagi warigh-warigh yang ingin mengabdikan perkahwinan mereka ke dalam blog ini bolehlah menghantar gambar atau video kepada penulis sebagai tatapan warigh-warigh yang lain.

Sunday, May 10, 2009

Gotong-Royong Mengeratkan Silaturrahim.

Almarhum Hj. Mohd Salleh, Cikgu Kassim & Hj. Rashid.

Kalau dulu apabila diadakan kenduri kahwin, semua warigh-warigh akan berkumpul yang dinamakan "berkampung ataupun kayu berakar".Maka dengan itu segala perancangan dibincangkan secara terperinci dan tugas-tugas kerja mula diagihkan.Bermula dengan mencari buloh untuk mendirikan khemah serta menebang pokok kelapa untuk dijadikan pangkin tempat duduk sehinggalah berjaga malam melapah daging untuk dimasak.
Setiap warigh-warigh yang datang akan membawa beberapa bahan seperti kelapa,kuih-muih dan sebagainya untuk disedekahkan kepada tuan rumah bagi menyerikan lagi majlis yang akan diadakan.Beberapa anak-anak muda pula ditugaskan untuk menjadi penanggah iaitu penyaji makanan (disebut sebagai bertating) bagi menyediakan makanan kepada tetamu yang hadir.Selalunya mereka-mereka ini dibekalkan dengan sekotak rokok sebagai imbuhan kepada tugas yang dilakukan.Majlis kenduri pula akan diserikan dengan bacaan Berzanji dan Marhaban serta diselangi pula dengan tahlil.
Ada juga di antara beberapa warigh yang berkemampuan akan memanggil kugiran anak-anak kampung untuk mempersembahkan beberapa lagu.Adakalanya ia bermula dari malam berinai dan anak-anak muda akan datang untuk berjoget lambak sebagai menyerikan lagi majlis kedua mempelai.Di akhir majlis perkahwinan pula, semua penanggah (pekerja) akan dibekalkan dengan nasi dan lauk-pauk sebagai tanda penghargaan di atas sumbangan mereka bekerja.
Namun apakah tradisi ini masih kekal hingga sekarang?Jawapannya tidak?Ini kerana warigh-warigh kini lebih selesa dengan menggunakan khidmat "catering" untuk meyediakan makanan kepada tetamu yang hadir.Tetamu pula akan mengambil makanan dengan cara "buffet" dan bukan lagi dengan cara dihidangkan.Warigh-warigh yang datang hanyalah berlenggang tangan dengan berbekalkan sepucuk "angpow" untuk diberikan kepada tuan rumah.Tidak ada majlis gotong-royong kerana warigh-warigh hanya dimaklumkan melalui kad jemputan.Hiburan seperti joget lambak telah ditukar kepada acara karaoke.Malah ada juga yang menggunakan alat pita rakaman untuk membunyikan paluan kompang.Yang lebih malang ialah pemberian bunga telur telah ditukar kepada pemberian kek,sabun,tuala dan berbagai-bagai lagi mengikut kreativiti tuan rumah.Akibat dari cara beginilah maka hubungan silaturrahim itu tidak lagi kukuh seperti dahulu.Pertemuan di antara warigh-warigh hanya mengambil masa beberapa detik sahaja iaitu sewaktu bertemu pada hari berlangsungnya majlis bersanding.Alangkah baiknya jika tradisi dahulu dikekalkan demi menyatukan semua warigh-warigh agar mereka diberi lebih masa lagi untuk berbual panjang.

Saturday, May 9, 2009

Selamat Hari Ibu - Bingkisan Dari Warigh Kito.



Ibu adalah permata dan segala-galanya bagi kita.Seorang Ibu mampu menjaga seramai berbelas-belas anak-anaknya, namun apakah anak-anaknya yang ramai itu dapat menjaga seorang Ibu sepertimana yang dilakukan oleh Ibu kita?Walau segunung emas kita taburkan kepada Ibu, namun masih belum dapat membalas pengorbanan yang Ibu kita lakukan.Penulis mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua warigh-warigh yang bergelar Ibu.