Saturday, November 13, 2010

Lagu Warigh Menuang.



Lagu ini dicipta khas untuk Warigh Menuang Karim secara spontan.Arrangement musicnya mungkin boleh diperbaiki jika ia dibuat di studio yang lengkap.Mungkin lagu ini sesuai untuk dinyanyikan secara beramai-ramai sewaktu perhimpunan diadakan.Lagu ini adalah ciptaan Mohd Hanif dan liriknya juga dari Mohd Hanif.Jika ada warigh-warigh yang lain yang mempunyai bakat terpendam untuk mencipta satu lagu untuk Warigh Menuang,pihak Warigh Menuang amat mengalu-alukannya.

Wednesday, November 10, 2010

Ratusan Gambar Warigh Menuang Karim.

Gambar Perhimpunan Ke-2 Jejak Kasih Warigh Menuang Karim kali ini dapat diabadikan di blog ini dengan lebih banyak sekali melalui tayangan slide show.Pengunjung blog boleh mendapatkan gambar-gambar kenangan apabila gambar di slide show tersebut diklik untuk tatapan yang lebih besar saiznya.
Pihak blog mengucapkan jutaan terima kasih kepada beberapa warigh yang telah memuatkan gambar-gambar kenangan ini melalui laman social Facebook.Ini memudahkan blog untuk menjadikan gambar tersebut sebagai album kenang-kenangan di blog ini.Diharap dapat dimanafaatkan oleh seluruh Warigh Menuang Karim dengan sebaik-baiknya.

Sunday, November 7, 2010

Coretan Sepanjang Perhimpunan Warigh Menuang Karim Kali Ke-2

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Batu Kikir pada pagi Juma'at berjalan lancar dengan menggunakan Lebuhraya LEKAS.Sampainya di Pekan Batu Kikir, sudah kelihatan "bunting" perhimpunan Warigh Menuang Karim digantung sepanjang jalan sehingga ke tapak perhimpunan.
Selepas menunaikan solat Juma'at di Masjid Taman Anggerik bersama warigh-warigh yang lain, kami memulakan kerja untuk rehearsal di Asrama Anak-Anak Yatim Jempol Bakti, Batu Kikir sambil melakukan kerja-kerja untuk menyiapkan pentas, hiasan dan lain-lain.Ramai warigh-warigh yang terlibat dalam menyediakan persiapan untuk perhimpunan pada 6hb. November 2010.
Pada malam harinya, kami mengadakan BBQ di rumah Almarhum Hj Mohammad Salleh yang dihadiri oleh beberapa warigh.Perbualan malam itu sungguh menghiburkan sehingga tidak sedar jam sudah menunjukkan lebih pukul 12 malam.
6hb. November pagi, semua warigh-warigh yang terlibat dalam menyediakan persiapan sudah berkumpul sejak dari pukul 7.00 pagi.Warigh-warigh yang lain mulai sampai untuk mendaftarkan diri sambil beramah mesra dengan saudara-saudara yang sudah lama tidak bertemu.Sebelum acara bermula pada pukul 11.30 pagi, dewan sudah dihiburkan oleh kumpulan Rebana Anak Bochek yang dijemput khas dari Seremban. Detik 11.30 sudah sampai, maka kedua-dua pengacara majlis iaitu Puan Linda Hashim dan Nor Amelia Farina memulakan tugas mereka dengan kata-kata selamat datang sambil berpantun.
Majlis dimulai dengan bacaan selawat ke atas Nabi s.a.w. yang dipimpin oleh Saudara Mohd Hanif Mohd Salleh dengan diikuti oleh semua hadirin.Kemudian bacaan tahlil dan doa selamat dipimpin pula oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Zuhaidi Bin Hj Abd. Wahab.
Setelah selesai, kedua-dua pengacara menjemput pula Tuan Pengerusi majlis iaitu Y.Bhg. Dato' Dr. Mohd Awal Bin Dato' Hj. Nordin menyampaikan ucapan.Kemudian, ucapan dari Penaung Perhimpunan Jejak Kasih Warigh Menuang Karim iaitu Y.Bhg Dato' Hj. Mohammed Bin Husien menyusul.
Acara diteruskan lagi dengan tayangan slide show pengenalan kepada warigh-warigh Menuang yang banyak berjasa dipertontonkan sambil diulas oleh Saudara Mohd Hanif Bin Hj. Mohd Salleh.Antara tokoh-tokoh yang ditayangkan ialah Y.Bhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd Anwar Bin Hj Mohd Nor (Bekas PAT), Tan Sri Dato' Seri Mohd Shahrom Bin Dato' Hj Nordin(Bekas PTD), Almarhum Dato' Hj. Zainal Bin Deli(Ketua Polis N.S & Perak), 3 tokoh ulama, Almarhum Dato' Hj Mustaffa Bin Hj. Ahmad, Almarhum Tuan Guru Hj. Abd. Majid Bin Hj. Abd Karim, Dato' Hj Mohammed Bin Husein dan tidak ketinggalan juga seorang penyanyi terkenal iaitu Wan Aishah Bte. Wan Ariffin.
Seterusnya majlis menjemput pula Kol. Mohd Yasin Bin Usop untuk memberi penerangan mengenai penubuhan Yayasan Kebajikan Warigh Menuang Karim.Pelancaran Yayasan tersebut telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd Anwar Bin Hj. Mohd Nor sambil disaksikan oleh ratusan warigh-warigh yang hadir termasuk juga wartawan dari Utusan Malaysia.
Jam hampir ke pukul 1.00 tengahari, maka majlis meminta semua warigh-warigh berkumpul untuk sesi photography. Kemudian semua warigh-warigh diminta berjemaah untuk solat Zuhur dan seterusnya menikmati makan tengahari yang disediakan.
Pukul 2.30 petang, majlis bermula dengan cabutan bertuah sambil pemberian hadiah kepada warigh-warigh yang jatuh harijadinya pada 6hb. November 2010.Selesai sudah cabutan bertuah, majlis ditutup pada pukul 3.30 ptg. dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Saudara Mohd Hanif Bin Hj. Mohd Salleh. Alhamdulillah, majlis perhimpunan telah dapat disempurnakan dengan jayanya dengan dihadiri oleh lebih 500 warigh-warigh dari seluruh negeri.

Saturday, November 6, 2010

Perhimpunan Ke-2 Jejak Kasih Warigh Menuang Karim.

Alhamdulillah, Perhimpunan Ke-2 Jejak Kasih Warigh Menuang Karim telah dapat disempurnakan dengan jayanya pada 6hb. November 2010. Tahniah dan Syabas diucapkan kepada semua warigh-warigh yang terlibat dalam menjayakan perhimpunan kali ini. Pihak Blog Warigh Menuang ada memasukkan gambar-gambar sepanjang perhimpunan di Facebook Warigh Menuang Karim untuk dimanafaatkan oleh semua warigh-warigh. Ini adalah untuk memudahkan semua warigh-warigh membuat sebarang komentar berkenaan majlis ataupun gambar-gambar tersebut. Bagi warigh-warigh yang belum lagi menjadi rakan Facebook Warigh Menuang Karim, silalah berbuat demikian dan sama-sama kita dapat berinteraksi sesama kita kerana Blog ini hanyalah cetusan idea dari pengendali blog sahaja.Dapatkan gambar-gambar terkini di Facebook Warigh Menuang Karim.

"Yang Jauh Kito Dokekkan"
"Yang Dokek Kito Eratkan"

Tahniah Seluruh Warigh Menuang Karim.

Enam generasi waris Menuang Karim berhimpun


KIRA-KIRA 500 anggota keluarga waris Menuang Karim berkumpul pada Perhimpunan Ke-2 Jejak Kasih bagi merapat hubungan kekeluargaan di Yayasan Anak-Anak Yatim Jempol Bakti, dekat Jempol, Negeri Sembilan, semalam.


JEMPOL 6 Nov. - Lebih 500 ahli keluarga Menuang Karim dari seluruh negara menghadiri Perhimpunan Kedua Jejak Kasih yang diadakan di Yayasan Anak-Anak Yatim Jempol Bakti di sini, hari ini.

Program yang diadakan sehari itu bertujuan mengenali sanak saudara yang mempunyai pertalian darah selain merapatkan hubungan kekeluargaan sedia terjalin.

Antara yang turut hadir ialah bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Noor yang juga salah seorang daripada waris Menuang Karim.

Ahli jawatankuasa program itu, Maznah Husein memberitahu, program itu kali kedua diadakan selepas program pertama seumpamanya di Sekolah Sri Jalan Dato Kelana Ma'mor, Seremban pada tahun lalu.

"Program ini dirancang sejak awal lagi dan daripada program pertama yang kita lakukan ini, 500 ahli keluarga berjaya dihimpunkan di sini hari ini.

"Program ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan walaupun ada sebahagian keluarga kami tidak dapat hadir dari beberapa negeri di utara berikutan banjir," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jelas Maznah, pelbagai aktiviti telah diatur antaranya bacaan tahlil, pengenalan salasilah Waris Menuang Karim, cabutan bertuah selain Majlis Pelancaran Yayasan Menuang Karim.

"Setakat ini kita telah mempunyai Persatuan Kebajikan Keluarga Menuang Karim yang ditubuhkan bagi membantu semua ahlinya termasuklah keluarga yang kurang bernasib baik.

Katanya, maklumat mengenai generasi keluarga ini boleh diperoleh melalui laman web di http://menuangkarim.blogspot.com.

*sumber dari Mingguan Malaysia 7hb. November 2010 mukasurat 20.

Wednesday, November 3, 2010

Bacaan Selawat Bersama Warigh Menuang.



Perhimpunan Ke-2 Jejak Kasih Warigh Menuang Karim yang akan diadakan pada 6hb. November 2010 akan dimulai dengan bacaan selawat ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w.Semoga majlis tersebut akan mendapat keberkahan dari Allah swt.

Monday, November 1, 2010

Promosi Perhimpunan Ke-2 Oleh Utusan Malaysia

Alhamdulillah dengan kerjasama penuh yang diberi oleh Ketua Editor Utusan Malaysia iaitu Encik Ramli Bin Abdul Karim, Perhimpunan Ke-2 Jejak Kasih Warigh Menuang Karim telah disiarkan dalam edisi Wilayah Negeri Sembilan/Melaka pada 1hb. November 2010.
Insya'allah pihak Utusan Malaysia juga akan hadir pada perhimpunan tersebut bagi memberi sedikit liputan.Pihak blog Warigh Menuang Karim mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama yang diberi oleh akhbar Utusan Malaysia.