Wednesday, December 31, 2008

Pengasas Salasilah Keluarga Menuang.

Penyambung Warisan Carta Salasilah Keluarga Menuang Bersama Isteri Almarhum Hj. Mohammad Salleh Bin Jawal.

Almarhum Haji Mohammad Salleh Bin Jawal telah mula mengasaskan carta salasilah keluarga Menuang Karim pada penghujung tahun 70an.Beliau mula mencari nama-nama waris dan mengabdikannya di atas sekeping kertas berukuran AO iaitu kertas yang digunakan untuk melukis pelan.Pencarian waris yang diusahakan oleh beliau telah menghasilkan satu carta salasilah keluarga Menuang yang tersusun rapi.Beliau akan menunjukkan hasil kerja beliau kepada setiap sanak-saudara yang bertandang ke rumah sambil bertanya tentang beberapa nama yang beliau tidak pasti untuk dimasukkan ke dalam carta tersebut.

Sejarah Tentang Almarhum.

Beliau dilahirkan sekitar tahun 1917 dan merupakan anak tunggal perkahwinan Naemah dan Jawal.Beliau berpendidikan Senior Cambridge dan amat fasih bila berbahasa Inggeris.Maka tidak hairanlah apabila beliau lebih gemar membaca New Straits Time yang merupakan akhbar hariannya.Hobi beliau ialah membaca dan dengan itu beliau banyak membelanjakan wang untuk membeli buku-buku yang semuanya dalam bahasa Inggeris.

Sikap Beliau.

Beliau adalah seorang yang amat tegas dan berpegang kepada prinsip hidupnya sendiri.Jika ada sesuatu perkara yang tidak berkenan di hatinya maka beliau lebih gemar berterus-terang dan tidak suka bercakap di belakang.Ketegasan beliau itulah membuatkan beberapa sahabatnya hormat kepada pendiriannya.Namun begitu beliau seorang yang menitik-beratkan amalan ziarah menziarahi dan bersikap pemurah kepada semua orang.Contohnya apabila beliau pergi menunaikan solat Juma'at maka beliau akan membawa beberapa jemaah untuk makan tengahari bersama beliau dan menghidangkan apa saja yang ada.Kalau tiba waktu Hari Raya, beliau akan pergi mencari saudara-maranya untuk dibawa ke rumah dan menghantarnya pulang semula.Beliau mengamalkan sikap bersederhana dan tidak tamak maka tidak hairanlah apabila beliau menolak jika ada peluang untuk memiliki rumah murah dan tanah.Alasan yang diberi ialah "kita tak sepatutnya merampas hak orang yang lebih memerlukannya".Selain itu beliau amat suka membantu orang yang di dalam kesusahan.Seringkali beliau akan menghidupkan enjin keretanya untuk menghantar beberapa orang yang dilihat sedang menunggu bas di hadapan rumah beliau.Jika tiba musim buah, beliau akan mengumpulkan buah-buahan tersebut untuk dihantar kepada sanak-saudaranya.Beliau amat tidak gemar jika ada sesiapa yang suka berbohong dan tidak menepati janji kerana amalan begini tidak pernah dilakukannya.

Beliau berkahwin dengan Hajjah Samekyah Bte. Husin dan dikurniakan 13 orang anak.Namun ketetapan Illahi telah menjemput 3 orang anaknya sewaktu masih kecil dan kini tinggallah 10 orang sahaja.Sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau telah menyediakan peralatan untuk digunakan sewaktu kematiannya nanti.Antaranya beberapa keping papan untuk menutup lahad, kain putih untuk mengkafankan beliau, mengeluarkan kesemua wang simpanannya dan sebagainya.Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 14hb. Oktober 1991 sewaktu sedang sujud solat Isya' dan berumur 74 tahun.

Carta salasilah Keluarga Menuang Karim yang diusahakannya telah disambung oleh anak buahnya iaitu Puan Hajjah Maznah Bt. Husein yang merupakan Setiausaha Perhimpunan Warigh Menuang Karim.Kegigihan Puan Maznah menyambung kerja yang ditinggalkan oleh Almarhum Haji Mohammad Salleh maka tercetuslah satu perhimpunan yang dihadiri hampir 500 orang dari keluarga Menuang Karim.Puan Maznah merupakan waris dari keluarga Naemah dan Kasan, iaitu sebelum Naemah berkahwin dengan Jawal.

Nota: Semoga Allah swt mencucuri rahmatnya ke atas roh Almarhum Haji Mohammad Salleh Bin Jawal dan juga memberkati usaha yang telah diteruskan oleh Puan Hajjah Maznah Bte. Husein. Amin.

Tuesday, December 30, 2008

Pantun Warigh Menuang.

"KORIH SELUDANG KITO LOKEKKAN"
"BIAR TERSOMAT BANGSO SERUMPUN"
"WARIGH MENUANG KITO DOKEKKAN"
"INILAH MATLAMAT KITO BERHIMPUN"

"MENUAI PADI BERPESTA SAKAN"
"DIJAMU DENGAN SEHIRIS PENGANAN"
"BERSUAI-KENAL YANG KITO HARAPKAN"
"SILATURRAHIM BIARLAH BERPANJANGAN"

"LENGGANG MAK MINAH MENUJU KE PEKAN"
"MENUJU KE PEKAN MENCARI MAKAN"
"WARIGH MENUANG KARIM KITO SATUKAN"
"BILO DAH DOKEK KITO MESRAKAN"

"KUIH BAHULU KUIH BANGKIT"
"DI HARI RAYO KITO MERASO"
"YANG MANO TERLANJUR JANGANLAH DIUNGKIT"
"KAN KITO NI MANUSIO BIASO, TAK SUNYI DARI DOSO".

"PERGI KE BARUH DI TENGAH PANEH"
"TIADA BERTEMAN MENCARI RUANG"
"BUANG YANG KERUH, AMBILLAH YANG JERNIH"
"KUKUHKAN PERSAUDARAAN WARIGH MENUANG"


ADAT WARIGH MENUANG.

"IKAN BERENANG DI DALAM LUBUK"
"IKAN BELIDA DADANYA PANJANG"
"ADAT PINANG PULANG KE TAMPUK"
"ADAT SIRIH PULANG KE GANGGANG"

"LEBAT DAUN SI BUNGA TANJUNG"
"BERBAU HARUM BUNGA CEMPAKA"
"ADAT DIJAGA PUSAKA DIJUNJUNG"
"BARU TERPELIHARA ADAT PUSAKA".

Majlis Perhimpunan Menuang Karim 2008.

Perhimpunan Jejak Kasih Warigh Menuang Karim telah diadakan pada 28/12/2008 bertempat di Sekolah Sri Seremban,Jalan Dato' Kelana Makmor, Seremban Negeri Sembilan.

Tujuan.

Untuk berkenal-kenalan, beramah mesra dan merapatkan hubungan kekeluargaan disamping mempereratkan silatulrrahim yang sedia terjalin.

Matlamat.

Untuk mengekalkan dan mengukuhkan amalan mesra kekeluargaan seperti saling mengingati dan menziarahi antara satu sama lain.

Motto Perhimpunan.

Warigh Menuang. Yang Jauh Kito Dokekkan, Yang Dokek Kito Himpunkan.

Ahli Jawatankuasa Perhimpunan Warigh Menuang Karim.

Pengerusi / Bendahari

Y.Bhg. Dato' Haji Mohamed Bin Hussein.

Setiausaha.

Puan Hajjah Maznah Bte. Hussein.

Ahli Jawatankuasa.

Y.Bhg. Datin Hjh. Noresah Bte. Othman.
Lt. Kol. Mohammed Bin Mohd Ali.
Kol. Mohd Yasin Bin Usop.
Tuan Haji Hisham Bin Dato' Hj. Zainal.
Tuan Haji Mohd Zain Bin Abd. Rahman.
Tuan Haji Mohd Nazri Bin Adam.
Tuan Haji Munzir Bin Othman.
En. Badrulhisyam Bin Abu Bakar.
En. Syamsul Redzuan Bin Hj. Mohd Salleh.
En. Mohd Kassim Bin Indin.
Puan Hajjah Halijah Bte Indin.
En. Hamidi Izuan Bin Ahmad Sufian.
En.Mohd Hanif Bin. Hj. Mohd Salleh.

Aturcara Majlis.

10.00-11.00 a.m - Ketibaan Warigh-Warigh Menuang Karim.
Pendaftaran Nama.

11.00-12.00 p.m - Berkenalan / Beramah Mesra.

12.00-12.30 p.m - Bacaan Doa oleh Ustaz Ahmad Zaki Bin Hamzah dari Pejabat Mufti N.S.


- Ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis, Dato' Hj. Mohamed Bin Husein.


- Sesi Bergambar.

12.30-14.30 p.m - Jamuan Makan Tengahari.

- Solat Zuhur Berjemaah /Tahlil.

14.30-16-30 p.m- Cabutan Nombor Bertuah.

- Sesi Beramah Mesra Diteruskan.

- Majlis Tamat.