Sunday, February 22, 2009

Temuramah Bersama Hj. Adenan Sulaiman

Menyingkap Kisah Warigh-Warigh Menuang.


Pada 20/02/2009 bersamaan hari Juma'at, rumah penulis telah dikunjungi oleh seorang warigh yang senior iaitu Haji Adenan Bin Sulaiman.Kisah beliau telah dipaparkan serba sedikit dalam tulisan lalu yang bertajuk Warigh Menuang Yang Penting.Haji Adenan sampai selepas waktu Maghrib untuk berkongsi serba sedikit kisah warigh-warigh Menuang.
Bermula dengan cerita Dato' Ujang Bin Menuang iaitu Dato' Menteri Hakim, Haji Adenan memaklumkan bahawa Dato' Ujang adalah orang Melayu pertama dalam Malayan Civil Service (MCS).Dato' Ujang juga adalah orang Melayu pertama menjadi Pegawai Daerah Perlombongan di Kuala Lumpur.Seterusnya Dato'Ujang menjadi Pegawai Daerah Lipis, Pahang di bawah naungan Sultan Pahang.Kediaman Dato'Ujang di Lipis Pahang juga pernah didiami oleh Dato' Akhir Zaman Abdul Rahman iaitu orang yang bertanggung-jawab dalam menyelesaikan beberapa masalah tanah di kawasan Juaseh, Rembang Panas dan sebagainya.Kini Dato' Akhir Zaman Abdul Rahman telah pun meninggal dunia.
Selanjutnya Haji Adenan memaklumkan bahawa gelaran Dato' Menteri Hakim boleh dituntut oleh Dato' Abdul Rahman Bin Deli yang kini menjadi Ketua Kampung Juaseh dan Pengerusi Masjid Juaseh.Dato' Abdul Rahman Bin Deli merupakan adik kepada Dato' Haji Zainal Bin Deli dan beliau lebih dikenali dengan panggilan Dojang.Namun apakah maklumat yang diberi ini boleh diterima atau tidak masih menjadi persoalan.Ini disebabkan gelaran tersebut dikurniakan oleh pihak istana dan bukannya melalui keturunan.
Selain daripada itu, Haji Adenan memaklumkan bahawa beberapa nama warigh Menuang yang senior dan penting tidak harus dilupakan begitu sahaja.Antara nama-nama yang disebut oleh beliau ialah Haji Nasamuddin Bin Ahmad ( bapa mertua Wan Omar Bin Wan Ariffin),Almarhum Udo Mat Aris (Tokey pam minyak Ampangan) dan juga Zakaria Osman (Bomba Negeri Sembilan).Beliau juga memaklumkan tentang pemergian Abang Jalal ke rahmatullah ( Jalalludin Bin Kasim) akibat sakit saraf pada 5/12/2008.Abang Jalal adalah saudara kandung Haji Salleh Bin Kasim (Sgt. askar Melayu) tinggal di Rembang Panas.
Menyingkap kisah Haji Adenan Bin Sulaiman, beliau pernah mendapat anugerah sebagai "top salesman" dalam penjualan kereta di Syarikat Wearn Brothers, Pudu, Kuala Lumpur suatu ketika dahulu.Beliau bersama Wearn Brothers selama 12 tahun menjual kereta-kereta berjenama Austin, Opel,Morris dan lain-lain.
Mengikut cerita dari Haji Adenan, panggilan Menuang hanyalah satu gelaran yang bermaksud "berkahwin dalam lingkungan warigh" dan bukanlah satu nama khas Menuang Karim.Kemungkinan ada kebenarannya kerana tiada siapa yang dapat memberi kepastian tentang panggilan Menuang itu sendiri yang kini menjadi persoalan.Mungkin juga ia adalah satu tanggapan beliau sahaja memandangkan persoalan ini tiada siapa yang dapat menjawabnya.Haji Adenan juga memberitahu bahawa beliau sebenarnya mempunyai 4 orang adik beradik iaitu Adenan,Maad,Nizar dan Zubir.Namun kehendak Illahi, ketiga-tiga adiknya meninggal dunia di zaman pemerintahan Jepun, maka tinggallah beliau yang juga dipenggil sebagai "Pak Ungga" ataupun yang tunggal.
Akhir sekali Haji Adenan mencadangkan agar ditubuhkan satu yayasan,pertubuhan ataupun satu badan "Menuang Karim" agar ia dapat menjadi satu badan yang membolehkan segala sumbangan untuk memajukan anak-anak Menuang Karim terlaksana.Pertemuan penulis bersama Haji Adenan berakhir pada pukul 11.30 malam dan beliau meminta izin untuk beredar kerana ingin meneruskan tugasnya sebagai pemandu teksi walaupun sudah berumur 73 tahun.Sama-samalah kita doakan agar Haji Adenan diberikan kesihatan yang berpanjangan dan juga ribuan terima-kasih diucapkan kepada beliau atas kesudiannya datang untuk berkongsi cerita demi warigh-warigh Menuang.

Tuesday, February 17, 2009

Dato' Ujang Bin Menuang ( Dato' Menteri Hakim).

Dato' Ujang dan Amah meraikan beberapa anak-anak Menuang untuk majlis berkhatan.

Anak bongsu dari perkahwinan Menuang Karim dan Sa'aliah ialah Ujang Bin Menuang.Perkahwinan antara Ujang dan Amah telah dikurniakan 3 orang anak iaitu Nordin,Kamaruddin dan Kamariah.Antara ketujuh-tujuh adik beradik iaitu Minal,Ahmad,Naemah,Siti (Tiaya),Bador dan Noresah, Ujang adalah seorang yang disegani dan dihormati.Beliau dikatakan begitu berpengaruh dan juga orang pertama dalam warigh Menuang Karim yang dianugerahkan gelaran Dato' Menteri Hakim dari pihak istana.
Penulis masih belum berpeluang untuk mendapatkan beberapa maklumat tentang Dato' Ujang, maka dengan itu penulis akan cuba mendapatkannya dari beberapa warigh terdekat beliau bagi dinukilkan di dalam blog ini.Semoga pencarian maklumat ini akan berhasil dengan kerjasama daripada beberapa warigh terdekat yang akan tampil memberikan kerjasama seperti yang diharap-harapkan.

Sunday, February 15, 2009

Salasilah Keluarga Warigh-Warigh Menuang Karim.


Di atas permintaan ramai, akhirnya carta salasilah keluarga Menuang Karim dapat dimuatkan ke dalam blog ini untuk rujukan semua pihak.Salasilah ini dimasukkan dengan menggunakan "sribd" yang membolehkan fail pdf. dipaparkan.Bagi warigh-warigh yang ingin memuat-turun salasilah berkenaan, bolehlah mendapatkannya.Cuma salasilah keluarga Ahmad dan Meriam tidak ada dalam stok simpanan penulis untuk dipaparkan.Bagi mereka yang mempunyainya, bolehlah terus emailkan kepada penulis untuk dimuatkan bagi tatapan semua pihak.Mungkin ada beberapa kesalahan dari segi ejaan nama,nama yang tertinggal dan sebagainya, maka saya mewakili kesemua AJK Bertindak Warigh Menuang Karim memohon maaf dan segala kelemahan akan diperbaiki dari masa ke semasa.
Selain itu kerjasama dari semua pihak untuk terus menghidupkan blog ini amatlah dialu-alukan seperti menyumbang gambar,cerita dan sebagainya.Tanpa kerjasama dari semua pihak maka blog ini tidak dapat dikemaskini kerana kurangnya bahan atau cerita yang ingin dimuatkan.Penulis merasakan masih banyak lagi bahan cerita yang boleh dimuatkan seperti kisah Dato' Menteri Hakim, Dato' Ujang,kisah Pak Ngah Kamaruddin,kisah beberapa warigh yang lain dan kurang diketahui oleh penulis dan sebagainya.Itulah harapan penulis agar blog ini senantiasa segar, sebagaimana segarnya hubungan yang ingin dijalinkan dengan erat dalam kita merealisasikan perhimpunan jejak kasih Warigh Menuang.

hanifsalleh@gmail.com
hawira@yahoo.com.au.
013-3493799.

Friday, February 13, 2009

Salasilah Keluarga Ujang.( Tok Montori)

07 - Keluarga Ujang

Salasilah Keluarga Noresah.(Wan Echoh)

06 - Keluarga Noresah

Salasilah Keluarga Bador.

05 - Keluarga Bador

Salasilah Keluarga Siti (Tiaya)

04 - Keluarga Siti (Tiaya)

Salasilah Keluarga Naemah.

03 - Keluarga Naemah

Salasilah Keluarga Minal.

01 - Keluargai Miinal

Monday, February 9, 2009

Wabak Denggi Melanda.

Pada 06/02/09 bersamaan Hari Juma'at, penulis telah dimasukkan ke Hospital Ampang Putri kerana disahkan mengidap demam denggi.Sebelum ini abang penulis iaitu Mohd Fuad bin Mohd Salleh juga diserang penyakit demam denggi berdarah dan diberi rawatan di Hospital Besar Seremban.
Berita kemasukan penulis ke hospital telah tersebar di kalangan warigh-warigh yang begitu perihatin sekali.Penulis telah dikunjungi oleh beberapa adik-beradik, ipar-duai,anak-anak buah dan juga warigh-warigh yang lain.Antaranya ialah Puan Hajjah Maznah dan keluarga,Tuan Haji Hisham Bin Dato' Zainal serta beberapa panggilan talipon dari warigh-warigh yang lain bertanya khabar.Begitulah indahnya pengukuhan silatulrahim terjalin sejak bermulanya episod perhimpunan dan suai-kenal Warigh-Warigh Menuang.
Penulis ingin merakamkan jutaan terima-kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan penulis.Begitu juga kepada Puan Hajjah Maznah yang membawakan buah delima, kakak ipar dari Seremban, Puan Zarimah yang membawakan daun hempedu bumi untuk mengubat sakit sendi dan tidak ketinggalan kepada isteri tersayang yang tidak jemu-jemu memasak sup ketam setiap hari.Hanya Allah swt sahaja yang dapat membalas kebaikan mereka-mereka ini sebagaimana sepotong hadis Riwayat Imam Muslim,"Dari Tsauban r.a., Rasullullah s.a.w bersabda,"Siapa yang mengunjungi orang sakit, maka dia senantiasa berada dalam sebuah taman syurga penuh dengan buah-buahan yang dapat dipetik sampai dia pulang kembali".

Monday, February 2, 2009

Yayasan Menuang Karim.

Salah satu agenda dalam mesyuarat post-mortem Warigh Menuang Karim yang diadakan pada 11/01/2009 ialah satu cadangan untuk menubuhkan Yayasan Menuang Karim.Selain itu ia juga bergerak sebagai sebuah koperasi yang akan memberi peluang kepada warigh-warigh yang berniaga dengan mengeluarkan produk-produk mereka sendiri.
Dalam mesyuarat tersebut, beberapa nama individu yang agak berpengaruh juga disebut dalam merealisasikan cadangan penubuhan yayasan tersebut.Ini merupakan satu perkembangan yang amat baik kerana ada pihak yang ingin menyumbang kepada penubuhan yayasan tersebut.
Bagi merealisasikan penubuhan Yayasan Menuang ini, pihak AJK mestilah bergerak dengan penuh dedikasi agar apa yang diwar-warkan tidak hanya tinggal sebagai satu cadangan.
Setiap perkembangan baru dalam membicarakan penubuhan Yayasan Menuang ini seharusnya digerakkan bersama-sama agar ia tidak mati begitu sahaja.AJK yang agak serasi dengan beberapa individu yang berpengaruh seharusnya bergerak pantas agar penubuhan yang dicanang-canangkan terlaksana.
Penulis sempat bertemu beberapa warigh dalam mengisi masa lapang sempena cuti sambutan Tahun Baru Cina yang lalu.Antaranya ialah berkunjung ke rumah Puan Hajjah Asmah Bte Hj. Majid dan Puan Jarah (Azizah) isteri kepada Almarhum Haji Sulaiman Bin Hj. Karim.Dalam pada itu penulis juga berkesempatan berbual melalui talipon dengan Prof. Madya Wan Latifah Bte. Wan Ariffin untuk mendapatkan beberapa bahan mengenai Dato' Menteri Hakim, iaitu Dato' Ujang Bin Menuang.Sememangnya Almarhum Dato' Ujang menjadi kebanggaan warigh Menuang dan ini seharusnya dinukilkan dalam satu tulisan yang akan menjadi bahan sejarah bagi seluruh warigh Menuang.
Adalah diharap seluruh warigh yang ada memberikan kerjasama yang jitu dan erat demi menghidupkan suasana erat warigh Menuang Karim.