Wednesday, August 26, 2009

Lagi Kiriman SMS Dari Warigh.

SMS dari Puan Hajjah Maznah & Keluarga.

Doa Malaikat Jibril a.s. menjelang Ramadhan, "Ya Allah, tolong abaikan puasa umat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan, dia tidak melakukan hal-hal berikut",

*Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada).
*Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami-isteri.
*Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.

Maka Rasulullah s.a.w pun mengatakan "Amin", sebanyak 3 kali.

Dapatkah kita bayangkan, yang berdoa adalah Malaikat dan yang mengaminkan adalah Rasulullah sa.w dan para sahabat dan dilakukan pada Hari Jumaat.

Oleh itu saya terlebih dahulu memohon maaf jika ada berbuat kesalahan baik tidak disengajakan, maupun yang disengajakan. Semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan khusyuk, diberkati dan dirahmati Allah swt......Insya'allah.

SMS Dari Haji Zuhaidi Bin Hj. Abd Wahab.

"Allahumma bariklana fi syahri Ramadhan, warhamna fi Ramadhan, waghfirlana dzunubana bi barakati syahri Ramadhan."

Kiriman SMS dari Puan Hajjah Maznah juga adalah ditujukan kepada semua warigh-warigh dan penulis hanyalah memaparkannya agar mesej yang ingin disampaikannya dapat sama-sama kita manafaatkan bersama.
Begitu juga dengan doa yang dikirimkan olah Haji Zuhaidi, dapat juga kita memenafaatkannya sebagai amalan di bulan yang mulia.

Thursday, August 20, 2009

Kiriman SMS Dari Warigh.


Senandung Zikir Jernihkan Fikir,
Untaian Doa Bersihkan Jiwa.
Bersihkan Jiwa Berjuta Maaf, Sejukkan Kalbu.
Marhaban Ya Ramadhan..................................

Mohon Maaf Atas Segala Kesalahan Dan Dosa,
Semoga Kita Mendapat RidhoNya...................
Bila Memasuki Bulan Ramadhan Ini.....Amin.

Salam Hormat Dari Hisham Dan Keluarga.

Teks sms ini dikirimkan oleh Tuan Haji Hisham Bin Dato' Hj. Zainal kepada penulis. Penulis merasa terpanggil untuk menyiarkan teks ini bagi tujuan ucapan daripada beliau dapat disampaikan juga kepada semua warigh-warigh yang ada.Bagi penulis ini adalah satu ucapan yang menunjukkan kegembiraan kita untuk menyambut bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan. Bagi warigh-warigh yang ingin menyampaikan ucapan, bolehlah menggunakan chat box yang disediakan atau email kepada menuangkarim@yahoo.com. untuk disiarkan.

Tuesday, August 18, 2009

Selamat Berpuasa Warigh Menuang. - Secebis Bingkisan.


Puasa (bahasa Arab: صوم) secara bahasanya boleh diertikan sebagai menahan diri. Daripada segi istilah syara' bermaksud menahan diri daripada makanan atau minuman untuk suatu jangkamasa yang tertentu.

Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari . Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, berkata-kata yang buruk atau sia-sia, dan daripada bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan kesabaran, kejujuran dan bertolak ansur sesama sendiri. Maka secara tidak langsung, puasa juga menolong menanam sikap yang baik dan berbudi. Dan kesemuanya itu diharapkan berlanjutan ke bulan-bulan berikutnya, dan tidak hanya pada bulan puasa.

Dalil

Firman Allah S.W.T:

“ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ -(Surah Al-Baqarah: 183)

Hadis Rasulullah s.a.w: Ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:

" Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......."

Niat puasa Ramadhan

Tidak wajib dan tidak juga sunat berniat dalam bahasa Arab, memadai dalam bahasa Melayu atau apa-apa bahasa yang kita fahami. Tetapi baik dan berpahala jika diamalkan dalam bahasa Arab dengan niat kita cinta kepada bahasa Arab sebagai bahasa Nabi Muhammad s.a.w. dan bahasa al-Quran.

Lafaz niat

Lafaz setiap malam. Niat ringkas:

نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya: Sahaja aku puasa Ramadhan kerana Allah Taala.

Lafaz lengkap:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ أَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.

  • Sebenarnya bangun untuk bersahur itu sudah dikira berniat untuk berpuasa.

Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya untuk sebulan:

Lafaznya:

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya: Sahaja aku puasa untuk sebulan pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.

  • Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.
  • Namun begitu, jika puasa Ramadhan kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haidh, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut. Maksudnya, dengan memperbaharui niat sekali lagi bagi semua hari-hari puasa Ramadhan yang berbaki, iaitu niatnya:
“Sahaja aku berpuasa esok dan sehingga akhir Ramadhan ini kerana Allah Ta’ala”.

Waktu berniat

Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.

Hukum puasa

Puasa Wajib

  1. Puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu daripada Rukun Islam. Syariat puasa Ramadhan difardhukan kepada umat Muhammad s.a.w. pada tahun ke-2 Hijrah. Makanya, wajiblah ia dilakukan oleh semua orang Islam.
  2. Puasa Kifarah.
  3. Puasa Nazar.

Puasa Sunat

Hari-hari berikut disunatkan berpuasa bagi umat Islam:

  1. Puasa enam hari pada bulan Syawal
  2. Puasa pada Hari Arafah pada 9 Zulhijjah
  3. Puasa pada Hari Asyura pada 10 Muharam
  4. Puasa pada Hari Isnin dan Khamis

Puasa Haram

  1. Puasa pada Hari Syak pada hari 30 Syaaban
  2. Puasa pada Hari Raya Aidil Fitri pada 1 Syawal
  3. Puasa pada Hari Raya Aidil Adha pada 10 Zulhijjah
  4. Puasa pada Hari Tasyrik pada 11, 12, 13 Zulhijjah
  5. Puasa perempuan haid & Nifas
  6. Puasa sunat seorang perempuan tanpa izin suaminya
  7. Puasa bagi orang yang bimbang berlakunya mudharat ke atas dirinya kerana berpuasa
  8. Puasa untuk orang lain dan yang ghaib serta tidak diniatkan kepada Allah SWT

Syarat wajib puasa

Orang-orang Islam yang memenuhi syarat-syarat di bawah ini diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan:

  • Berakal/waras
  • Baligh (cukup umur)
  • Mampu/tidak uzur.

Syarat sah puasa

Manakala syarat puasa itu diterima di dalam Islam (sah) ialah:

  • Orang Islam
  • Berakal - tidak sah jika gila atau kanak2 belum mumayyiz
  • Suci daripada haid dan nifas
  • Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa, iaitu bukan dalam tempoh haram puasa.

Rukun puasa

Rukun puasa ada dua, iaitu:

  • Berniat pada malam harinya
  • Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari.

Sunat puasa

Perkara-perkara berikut disunatkan ketika berpuasa:

  • Makan sahur serta melambatkannya
  • Menyegerakan berbuka dan sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis atau air
  • Menjamu orang-orang berbuka puasa
  • Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan.

Perkara yang membatalkan puasa

Manakala perkara-perkara berikut akan membatalkan puasa jika terjadi:

  • Makan dan minum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit pun,seperti memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi dan lain-lain lagi.
  • Muntah dengan sengaja
  • Bersetubuh atau keluar air mani dengan sengaja
  • Keluar darah haid atau nifas.
  • Gila (hilang akal)
  • Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari.
  • Merokok disiang hari.(Termasuk menghisap ganja atau dadah)
  • Murtad (keluar dari Islam)
  • Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau menyegar mulut dan sebagainya.Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara kedalam rongga terbuka kerana ingin berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada rongga(dengan syarat air tersebut tidak diminum atau ditelan dengan sengaja).

Mereka yang diizinkan berbuka

Terdapat kelonggaran (harus) kepada golongan yang berikut untuk berbuka:

  • Orang yang sakit.
  • Orang yang berkerja buruh.
  • Orang yang dalam musafir (perjalanan).
  • Orang tua yang sudah lemah.
  • Orang yang hamil dan ibu yang menyusukan anak.

Doa buka puasa

اللهم لك صمت وبك امنت وعلى رزقك أفطرت
Ya Allah, Aku telah berpuasa untuk Kau dan pada Kaulah aku mempercayai dan aku membuka puasa dengan apa yang Kau berikan

Tingkatan Puasa

Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam bukunya Ihya al-'Ulumuddin telah membahagikan puasa itu kepada 3 tingkatan:

  1. Puasanya orang awam (shaum al-'umum): menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.
  2. Puasanya orang khusus (shaum al-khusus): turut berpuasa dari panca indera dan seluruh badan dari segala bentuk dosa.
  3. Puasanya orang istimewa, super khusus (shaum al-khawasi al-khawas): turut berpuasa 'hati nurani', iaitu tidak memikirkan sangat soal keduniaan

Pembahagian di atas memberikan umat Islam ruang untuk berfikir dan menelaah tingkat manakah mereka berada.

Kerugian meninggalkan puasa Ramadhan

Pahala puasa Ramadhan amat besar. Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja, bukan saja telah melakukan satu dosa besar, bahkan dia mengalami satu kerugian yang amat besar, satu hari puasa yang ditinggalkan tersebut tidak boleh ditebus dengan apa jua cara, tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidupnya. Ini jelas sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam: Maksudnya: “Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (uzur syarak) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).

Semoga puasa kita tahun ini adalah yang terbaik sekali berbanding dengan puasa-puasa yang lalu. Ampun dan maaf dari penulis kepada semua warigh-warigh sekiranya ada terkasar bahasa dalam penulisan maupun dalam percakapan. Selamat Datang Ramadhan, Selamat Berpuasa.


Sunday, August 16, 2009

Kursus Imam Dan Bilal.


Penulis bersama-sama peserta kursus.
Di antara Ahli Panel Penemuduga.

Pada 16/08/2009, penulis dijemput untuk menghadiri kenduri kesyukuran di rumah Dato' Abdul Rahim dan Datin Zahrah di Precint 10C Putrajaya. Datin Zahrah adalah adik kepada Puan Hjh. Maznah, dan beliau ada menjemput penulis untuk hadir ke majlis yang diadakan di rumahnya. Akibat dengan kesibukan tugas, penulis tidak dapat hadir ke majlis tersebut. Apa pun penulis mengucapkan tahniah kepada Dato' Abd. Rahim dengan penganugerahan yang diterima.
Pada hari tersebut penulis terpaksa menghadiri kursus yang diadakan untuk Imam dan Bilal di Hotel D'Palma Ampang. Kursus tersebut adalah untuk memantapkan lagi pembacaan bagi menghadapi bulan Ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi. Berpeluh juga dibuatnya kerana diuji untuk bacaan Fatihah dan Surah Sajadah. Ahli panelnya pula terdiri daripada ketua-ketua Imam dari masjid-masjid Wilayah yang berkelulusan Al-Azhar Mesir dari golongan al-hafiz. Namun begitu penulis berasa syukur kerana dapat melepasi ujian yang diadakan.Insya'allah kalau diizinkan dan diberi umur panjang, sama-samalah kita menempuh bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan amalan kita bagi bekalan di hari akhirat. Selamat Berpuasa.

Saturday, August 15, 2009

Konyang, Mongah Dan Hongeh.

Istilah "Konyang, Mongah Dan Hongeh" ini sebenarnya telah disuarakan oleh Tan Sri Anwar sewaktu pertemuan penulis dengan beliau baru-baru ini. Mana tidaknya, kerana dalam bulan Sya'aban sahaja sudah banyak jemputan kenduri yang penulis sendiri hadir. Di antaranya ialah kenduri kahwin dan yang paling kerap sekali ialah kenduri tahlil menyambut kedatangan bulan Ramadhan.
Pada 15/8/2009, jam 12.00 tengahari, kenduri tahlil arwah dan doa selamat telah diadakan di rumah Tuan Haji Yusof dan Puan Hjh. Maznah di Wangsa Maju. Sebenarnya dalam minggu tersebut, bermula pada 8/8 hinggalah 15/8/2009, penulis telah dijemput tidak kurang daripada 6 majlis kenduri. Penulis merasa terharu kerana telah diberi kepercayaan untuk memimpin bacaan Yasin dan Tahlil di rumah Tuan Hj Yusof dan Puan Hjh. Maznah. Inilah pertama kali bagi penulis memimpin bacaan di rumah warigh sendiri walaupun sebelum ini telah banyak dijemput untuk memimpin di rumah-rumah, masjid yang berdekatan rumah penulis.
Memang setiap tahun apabila datangnya bulan Sya'aban maka makanan melimpah ruah sehinggakan tidak larat lagi untuk kita menjamahnya. Namun demi tidak menghampakan permintaan orang yang menjemput maka, tak boleh tidak kita terpaksa hadir juga walaupun dalam satu hari ada 2-3 jemputan. Apabila ini berlaku, benarlah istilah yang diguna pakai oleh Tan Sri Anwar iaitu, yang pertama "Konyang", kemudian makan lagi, kita akan "Mongah". Seandainya kita sambung lagi maka kita akan "Hongeh" dan bersandar seperti ular sawa yang kekenyangan. Apa pun, inilah dia istilah yang ada di negeri kita yang tidak ada di negeri-negeri lain.

Tuesday, August 11, 2009

Amalan Untuk Warigh-Warigh Semua.

Ini ada satu doa yang saya ingin kongsikan bersama warigh-warigh semua. Doa keselamatan dari wabak. Doa ini diajarkan oleh al-Fadhilatus Syaikh Dato’ Haji Mohd Murtadza bin Haji Ahmad bin Haji Muhammad Said (Linggi) bin Haji Jamaluddin bin Haji Idris, mantan mufti Negeri Sembilan Darul Khusus.

Beliau merupakan cucu kepada Syaikh Muhammad Said Linggi, seorang ulama yang terkenal di Tanah Melayu (wafat pada 12 Rabiulawwal 1345H (waktu malam), bersamaan 18/19 September 1926, ketika berusia 53 tahun menurut kiraan tahun Hijrah. Dan beliau adalah merupakan salah seorang murid kepada Syaikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dan Tok Wan Ali Kutan, diantara ulama melayu terkenal di Mekah. Bahkan ayahanda, Syaikh Jamaluddin, merupakan guru yang mengajar di Masjidil Haram).

Dato Haji Mohd Murtadha dilahirkan pada 23 Shafar 1356H bersamaan 5 Mei 1937. Dilantik menjadi mufti kerajaan Negeri Sembilan, Darul Khusus pada tahun 1987 dan bersara pada 31 Disember 2008. Beliau adalah merupakan Syaikh Thariqat Ahmadiyyah Idrisiyyah.

Ini doa yang baik untuk diamalkan bagi menghindarkan diri daripada wabak H1N1.


Klik Untuk Besarkan.

Wednesday, August 5, 2009

Bingkisan Dari Tan Sri Anwar.





Pertemuan Bersama 2 Tan Sri Warigh Menuang.

Pejabat Tan Sri Anwar Bin Md. Nor.
Mohd Yunus Bin Ahmad.
Tan Sri Anwar Bin Md. Nor.

Mohd Yunus, Tan Sri Anwar, Tuan Blog.
Bersama Tan Sri Mohd Shahrom Nordin.

Pada 05/08/2009, bersamaan hari Rabu, satu pertemuan telah diatur untuk bertemu dengan Yang Berbahagia Laksmana Tan Sri Dato' Sri Mohd Anwar Bin Hj. Md. Nor. Pertemuan tersebut telah diadakan pada jam 10.00 pagi bertempat di Lembaga Tabung Angkatan Tentera Malaysia. Pertemuan tersebut juga dihadiri oleh Mohd Yunus Bin Ahmad (Ipar kepada Hj. Hisham Bin Dato' Hj. Zainal)
Pada mulanya, penulis merasa agak kekok juga, namun keramahan yang ditunjukkan oleh Tan Sri telah membuatkan pertemuan tersebut diselangi dengan kisah-kisah lucu. Tan Sri telah menukilkan kisah-kisah lamanya sewaktu berada di kampung sambil mengimbau kembali sejarah-sejarah lama beliau. Pertemuan yang berlangsung selama 1 jam itu sungguh bermakna sekali kerana misi untuk menjejak warigh-warigh yang ternama bolehlah dianggap sebagai satu kejayaan.
Pada sebelah petangnya satu lagi pertemuan diatur untuk menjejaki warigh-warigh yang ternama. Kali ini penulis telah mengadakan pertemuan bersama dengan General Tan Sri Dato' Sri Mohd Shahrom Bin Dato' Hj. Nordin. Pertemuan pada jam 4 petang itu telah berlangsung di sebuah restoran mamak, D'Pankin Bukit Jelutong. Perbualan yang berlangsung selama 1 jam itu adalah satu pertemuan yang amat bermakna sekali. Kedua-dua mereka berjanji akan turut serta dalam perhimpunan yang akan datang jika diberi kesempatan demi mempereratkan silaturahim Warigh Menuang Karim.