Monday, November 30, 2009

Sama-Sama Kita Doa Keselamatan Kuala Pilah.


Gempa bumi lemah berukuran 3.0 pada skala Richter berlaku buat kali keempat di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada pukul 2.30 petang hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, gempa bumi itu berpusat di 22km timur Seremban dan merupakan kejadian terbaru daripada tiga kejadian gempa bumi yang berlaku di lokasi sama sejak semalam.

Kejadian gempa bumi pertama berlaku pada pukul 2.30 petang semalam dan hari ini sebanyak tiga kejadian gempa bumi direkodkan oleh Jabatan Meteorologi yang berlaku pada pukul 12.15 tengah malam, 9.10 pagi dan 2.30 petang ini, menurut kenyataan itu.

Gegaran akibat gempa bumi itu dapat dirasai oleh penduduk di kawasan berkenaan, bagaimanapun, orang ramai tidak perlu berasa bimbang kerana gegaran itu adalah lemah.

Menurut kenyataan itu, kejadian gempa bumi lemah adalah kesan daripada gempa bumi kuat yang berlaku di Indonesia baru-baru ini. BERNAMA

Tahniah - Warigh Kito Monang Saman EMI.


Setelah 10 tahun, penyanyi Aishah hari ini akhirnya berjaya mendapatkan penghakiman dari Mahkamah Tinggi terhadap syarikat EMI (Malaysia) Sdn Bhd yang disamannya kerana memungkiri perjanjian rakaman album pada 1996.

Hakim Datuk Tee Ah Sing memerintahkan syarikat rakaman itu membayar Aishah, atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Arifin, ganti rugi am, yang jumlahnya akan akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah, serta ganti rugi nominal sebanyak RM100.

"Bagaimanapun tuntutan ganti rugi khas ditolak mahkamah atas alasan Aishah gagal mengemukakan bukti terhadap tuntutan tersebut," kata peguam Hasnal Rezua Merican, yang mewakili Aishah, ketika ditemui media di luar mahkamah.

Peguam itu juga memberitahu tuntutan balas EMI bagi mendapatkan ganti rugi sebanyak RM93,071 daripada penyanyi tersebut turut ditolak dengan kos oleh mahkamah.

Penghakiman bertulis Hakim Tee itu dibacakan Timbalan Pendaftar Hilmiah Yusof dalam kamarnya pagi tadi.

Aishah, 44, penyanyi yang popular dengan lagu 'Janji Manismu' itu telah memfailkan saman terhadap EMI pada 6 Dis 1999 bagi menuntut ganti rugi RM406,000, termasuk ganti rugi am, pembayaran royalti, kos dan faedah kerana mendakwa EMI telah memungkiri kontrak yang dibuat antara kedua-dua pihak.

Penyanyi itu mendakwa EMI menamatkan kontraknya sebelum menerbitkan album ketiga seperti yang dijanjikan dalam kontrak yang ditandatanganinya pada 16 April 1996.

Aishah juga mendakwa walaupun kontraknya dengan EMI telah ditamatkan pada 16 Jun 1999, tetapi album hari raya berjudul "Pulanglah Perantau" yang dirakam sebelum itu telah dipasarkan sekitar Ramadhan tahun 2000.

Sementara itu, EMI dalam tuntutan balas mereka mendakwa Aishah enggan mengikuti program promosi album hari raya itu sehingga menyebabkan EMI terpaksa membatalkan program yang telah ditempah dan mengalami kerugian.

Aishah, ketika ditemui pemberita selepas prosiding mahkamah, menyifatkan pengorbanannya selama 10 tahun untuk memperjuangkan kes itu sebagai 'terbalas' dengan keputusan mahkamah yang memihaknya hari ini.

"Apa yang saya buat ini bukanlah kerana duit semata-mata, tetapi kerana prinsip dan kebenaran. Saya hendak buktikan bahawa syarikat-syarikat besar seperti ini tidak boleh bertindak sewenang-wenang terhadap anak seni.

"Bayangkan perasaan saya apabila menerima surat penamatan kontrak melalui pos ekspres sahaja. Saya harap artis-artis muda berhati-hatilah apabila hendak menandatangani kontrak, kalau boleh lantiklah peguam untuk membacakan hak mereka," nasihat Aishah.

EMI diwakili peguam Soo Siew Mei. BERNAMA

Tuesday, November 24, 2009

Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha.

Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: عيد الأضحى 'Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak awal sedikit Hari Raya Aidil Fitri.

Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.

Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.

Bagi warigh-warigh yang berkemampuan adalah disarankan untuk turut serta dalam menjalani ibadat korban walaupun hanya dengan satu bahagian. Selain itu juga peranan kita bersama-sama membantu menyelenggarakan ibadat korban ini seperti penyembelihan, melapah daging, pembahagian daging dan sebagainya adalah satu bentuk pengorbanan juga kerana kita memperuntukkan tenaga dan masa untuk turut serta dalam merealisasikan ibadat korban yang diadakan. Kepada semua warigh-warigh, penulis bersama keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha dan Maaf Zahir Dan Batin.

Saturday, November 7, 2009

Warigh Menuang Tetamu Allah.

Apabila seseorang itu berkunjung ke Baitullah di Tanah Suci Mekah, maka bermakna dia menyahut panggilan Illahi untuk menunaikan ibadat Haji atau Umrah (kedua-duanya waktu musim Haji). Ini menjadikan dia sebagai Utusan/Tetamu Allah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
"Orang yang mengerjakan Haji dan orang yang melakukan Umrah adalah menjadi "Utusan Allah". Jika mereka berdoa, nescaya Allah menerima doa mereka dan jika mereka memohon ampun, nescaya Allah mengampuni mereka". -Riwayat al-Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban daripada Abi Hurairah r.a.
Penulis mewakili warga Warigh Menuang ingin mengucapkan Selamat Pergi Dan Selamat Pulang kepada Tuan Haji Yusof dan Puan Hjh. Maznah kerana telah dijemput sebagai tetamu Allah untuk mengerjakan fardhu haji pada 12/11/2009 bersamaan Hari Khamis. Kedua-dua mereka akan berangkat dari rumah selepas fardhu Asar setelah mereka mendapat panggilan talipon daripada Tabung Haji. Sama-samalah kita doakan kesejahteraan kedua-dua mereka dan dianugerahkan dengan Haji yang mambrur.
"Para Hujjaj dan orang yang mengerjakan Umrah adalah Utusan Allah, Allah mengurniakan kepada mereka apa-apa yang dipinta dan memperkenankan doa mereka, disamping itu Allah menggantikan dirham yang telah mereka belanjakan dengan gandaan seribu kali seribu (satu juta) - Riwayat al-Baihaqi daripada Anas r.a.

Tahniah!!! N9 Juara Piala Malaysia.

Piala Malaysia Milik Negeri Sembilan.
Seluruh warga Warigh Menuang Karim mengucapkan jutaan tahniah kepada pasukan bolasepak Negeri Sembilan setelah menjuarai Piala Malaysia 2009. Kejayaan pasukan bolasepak Negeri Sembilan adalah satu hadiah yang teramat istimewa untuk Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan yang baru, Tuanku Muhriz Ibn Almarhum Tuanku Munawir. Pasukan Negeri Sembilan berjaya mengalahkan pasukan Kelantan 3-1 dengan penuh bergaya. Selain itu tahniah juga diucapkan kepada para penyokong Negeri Sembilan kerana menunjukkan contoh tauladan yang begitu baik apabila menonton perlawanan akhir di antara Negeri Sembilan dan Kelantan dengan penuh adab serta berdisiplin. Kali terakhir Negeri Sembilan berjaya merangkul Piala Malaya (ketika itu) ialah pada tahun 1948. Keceriaan terlukis di wajah Tuanku Muhriz sewaktu menyampaikan hadiah kepada pasukan Negeri Sembilan. Turut hadir bersama baginda ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama Mohammad Hasan dan juga En Khairi Jamaluddin (orang Rembau tu...). Tahniah Hobin Jang Hobin.

Hobin Jang Hobin Song.

Wednesday, November 4, 2009

Selamat Berjuang Pasukan Kito.



Hobin Jang Hobin...itulah kata-kata keramat yang sering dilemparkan oleh para penyokong Negeri Sembilan ketika pasukan itu beraksi. Bagi warigh-warigh yang kaki bola semestinya tidak mahu ketinggalan untuk menonton perlawanan akhir di antara Kelantan dan Negeri Sembilan pada 7hb November ini. Sama-sama kita sokong pasukan "Hobin Jang Hobin" untuk membawa pulang Piala Malaysia sebagai satu hadiah berharga kepada Yang DiPertuan Besar yang baru sahaja ditabalkan. Silap-silap ada di antara pemain Negeri Sembilan yang salasilahnya Warigh Menuang Karim, manakan kita tahu.....

Monday, November 2, 2009

Selamat Bertakhta Tuanku.



Pihak Warigh Menuang mengucapkan tahniah di atas pertabalan Tunku Muhriz Ibni Almarhum Tunku Munawir sebagai Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan yang ke 11.