Saturday, December 26, 2009

Selamat Ulangtahun Pertama Jejak Warigh Menuang.

Pada hari ini 27/12/2009 bersamaan dengan 10 Muharam 1431H, genaplah setahun perhimpunan Warigh Menuang Karim. Dalam usia semuda ini, berbagai-bagai pahit manis yang dirintangi demi memperkukuhkan persaudaraan antara warigh-warigh yang ada. Tidak dapat dinafikan dalam mewujudkan satu gagasan kekeluargaan yang erat, bukanlah satu kerja yang mudah apatah lagi bila menghadapi berbagai-bagai jenis dan ragam manusia. Bak kata pepatah, "Rumah Dah Siap, Tapi Pahat Masih Berbunyi".Inilah dia lumrah dalam kehidupan selagi kita yang dilahirkan ini bergelar manusia, tidak akan pernah sunyi daripada kesilapan, tohmahan, kritikan, cacian, pujian dan sejak azali lagi manusia itu dilahirkan sebagai manusia yang tak akan pernah berpuas-hati. Sememangnya untuk memuaskan hati semua orang bukanlah sesuatu yang mudah kerana manusia itu dilahirkan dengan berbagai-bagai ragam.
Pada hari ini juga, genaplah rasanya setahun Blog Warigh Menuang Karim ini beroperasi untuk menjadi penghubung silaturrahim di antara warigh-warigh yang ada. Ada yang mencemuh, ada yang memuji dan ada juga yang tidak ambil kisah sepanjang kewujudan blog yang tidak seberapa ini. Mengikut pengamatan penulis dalam masa setahun menghidupkan blog ini, tidak ada apa-apa yang dapat dibanggakan kerana kurangnya respon daripada pembaca-pembaca yang ada. Ini termasuklah tiadanya bahan-bahan yang boleh dikongsi bersama sebagai sokongan untuk menjadikan blog ini sebagai satu wadah penyebar maklumat aktiviti-aktiviti warigh-warigh yang ada. Tidak dinafikan juga ada di antara warigh-warigh yang cuba memberikan sedikit input tetapi nisbahnya amatlah mendukacitakan. Mungkin juga kerana terlalu sibuk dengan tugas-tugas seharian, maka kita lupa untuk bersama-sama memperjuangkan dan meneruskan agenda perhimpunan jejak keluarga Warigh Menuang.
Sebagai manusia biasa, penulis juga tidak lepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan dalam menukilkan entri di blog ini. Dengan rasa rendah hati, penulis ingin memohon seribu ampun kemaafan kepada semua warigh-warigh Manuang Karim sempena ulangtahun Perhimpunan Warigh Menuang Karim yang pertama ini. Penulis juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada warigh-warigh yang turut sama menyumbang bahan-bahan untuk blog ini.Rasanya sudah cukuplah setahun penulis memerah minda untuk menjadikan penulisan dan paparan bahan-bahan sebagai tatapan warigh-warigh yang ada, baik yang jauh ataupun dekat. Sebagai mengakhiri penulisan dalam blog Warigh Menuang Karim, sekali lagi penulis memohon agar diampunkan segala dosa kesalahan yang ada dan berdoa agar hubungan kekeluargaan yang dipupuk terus dirahmati Allah swt.

"Selamat Menyambut Ulangtahun Pertama Perhimpunan Warigh Menuang"
"Selamat Menyambut Tahun Baru 2010"

Sunday, December 20, 2009

Kiriman SMS Dari Madinah.

Dalam kegembiraan kita menyambut Maal Hijrah, penulis telah menerima satu pesanan ringkas daripada warigh kita yang masih lagi berada di Madinah. Sebelum ini Tuan Haji Yusof dan Puan Hjh. Maznah mengirim sms dari Mekah tetapi kini mereka berdua telah berada di Madinah. Di antara kandungan sms yang dihantar ialah "Salam, Hotel di Madinah 2 malam kat Nabawi, tingkap kami mengadap masjid. Jemaah dah ramai balik, tiap-tiap hari dapat sembahyang di Raudhah, tapi kena pergi 2 jam sebelum Maghrib. Baru habis, sedang tunggu Isya' 7.10, salam dari Madinah".
Penulis dimaklumkan bahawa kedua-dua mereka akan kembali ke tanahair pada 22/12/2009, jam 8.30 malam. Sama-samalah kita doakan semoga Allah mempermudahkan perjalanan mereka berdua dan sampai ke tanahair dalam keadaan sihat sejahtera.

Monday, December 14, 2009

Selamat Menyambut Awal Muharram.

Pada Hari Khamis bersamaan dengan 17/12/2009, selepas waktu Asar akan berakhirlah tahun 1430H dan bermulalah Tahun Baru Islam yang dinamakan 1 Muharram. Kita disarankan untuk membaca doa di atas selepas akhir waktu Asar iaitu pada masa beberapa minit lagi untuk kita menyempurnakan solat Maghrib. Semoga kita dapat muhasabah diri dan berfikir sejenak akan diri kita setelah setahun kita melalui tahun 1430H.

Sebaik sahaja kita selesai malaksanakan solat Maghrib, kita disarankan pula untuk membaca doa awal tahun 1431H. Semoga tahun baru ini akan menguatkan lagi azam kita untuk memperbaiki segala kepincangan dan kekurangan kita seperti apa yang telah kita lalui pada tahun 1430H.
Penulis mewakili seluruh warga Warigh Menuang Karim mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijriah kepada semua warigh-warigh yang ada.

Saturday, December 12, 2009

Tahnik & Cukur Jambul Dea Qisha.


Bacaan Rawi Barzanji.
Tahnik & Cukur Dilakukan Oleh Bapa Saudara Dea Qisha.
Nenek Dea Qisha Dari Kedah.
Nenek Saudara Dari Seremban.
Datuk Saudara Dari Terengganu.
Datuk Dea Qisha melakukan Cukur Jambul.
Di antara hikmah tahnik adalah agar bayi itu merasa rasa manis sejak pertama kali menghirup udara di alam dunia ini. Dasar praktek ini adalah hadits berikut ini:Dari Abi Musa as berkata, "Aku mendapat kelahiran bayi, lalu bayi itu aku bawa kepada Rasulullah SAW. Beliau SAW lalu memberi nama bayi itu Ibrahim, lalu mentahniknya dengan kurma, serta mendoakannya agar mendapatkan keberkahan, lalu bayi itu dikembalikan kepada saya." (HR Bukhari dan Muslim)

Satu majlis tahnik dan cukur jambul telah diadakan di rumah Saudara Fahmi dan Yan Nazria di USJ Subang Jaya kerana kelahiran anak perempuan mereka iaitu Dea Qisha. Majlis tersebut dimulai dengan bacaan Rawi Kitab Barzanji, Selawat Kepada Rasulullah s.a.w, Marhaban dan doa yang didatangkan khas dari Kampung Pandan, Selangor.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh sanak saudara baik yang jauh ataupun yang dekat serta rakan taulan kedua-dua pasangan ini. Penulis mewakili warigh-warigh yang ada senantiasa mendoakan kesejahteraan hidup kepada kedua-dua pasangan ini bersama-sama dengan anak-anak mereka.

Thursday, December 10, 2009

SMS Dari Kota Mekah .

Balik daripada masjid selepas menunaikan solat Subuh, penulis menerima SMS daripada warigh kita yang kini masih lagi berada di Mekah. Warigh yang penulis maksudkan ialah Tuan Haji Yusof bersama isterinya Puan Hajjah Maznah yang dijangka akan pulang ke tanahair pada 22/12/2009 jam 8.30 malam. Kandungan SMS yang dihantar adalah, "Salam, kami masih di Mekah, sihat, cuma batuk susah nak hilang. Jemaah haji dah ramai balik, jemaah umrah pula mula sampai. Cuaca sejuk 23' C. Kat Madinah lagi sejuk. Jumaat hari ini kena pergi awal 2 jam, selalu sesak. Sekian, salam dari Abang Yusof dan Kak Maznah".
Sama-samalah kita doakan semoga mereka terus di bawah lindungan Allah swt dan diberi kekuatan untuk menempuhi segala ujian. Sesungguhnya tanda seseorang itu beriman ialah mereka diuji terlebih dahulu dan redha dengan pemberianNya.

Friday, December 4, 2009

Kebiadaban Memburukan Warigh Menuang.

sila klik untuk besarkan.

Dalam pencarian "Google" tentang warigh Menuang, maka akan terpaparlah pencarian seperti apa yang dipaparkan di atas.Kebiadaban individu yang mengaitkan aktiviti Warigh Menuang dengan ajaran-ajaran yang bertentangan dengan ajaran agama Islam adalah sesuatu yang patut dikutuk oleh seluruh warga Warigh Menuang. Di antara yang terdapat dalam pencarian laman "Google" tersebut, individu tersebut telah mengaitkan bacaan khutbah Hari Raya oleh salah seorang warigh Menuang dengan amalan ilmu tasawuf moden.
Di sini penulis ingin menyatakan bahawa segala aktiviti yang melibatkan warigh Menuang tidak ada yang berhubung-kait dengan amalan tasawuf moden, amalan tarekat sufi ataupun apa-apa amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Paparan video berkenaan dengan ajaran tarekat yang menari-nari sambil berzikir itu berlaku di Negeri Kedah dan sepatutnya tidak dikaitkan dengan aktiviti warigh-warigh Menuang. Sekali lagi penulis mewakili warigh-warigh Menuang keseluruhannya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan individu yang tidak bertanggung-jawab memburuk-burukkan nama baik Warigh Menuang.

Wednesday, December 2, 2009

Jawapan Kepada Kekeliruan Video Warigh Menuang.

Satu persoalan untuk dirungkai telah ditulis di ruangan shout-mix oleh seorang yang menamakan dirinya sebagai Guest tentang video aktiviti keagamaan yang menggunakan nama Warigh Menuang. Apabila disiasat, memang ada individu yang menggunakan "back-drop" Warigh Menuang sebagai memperkenalkan dirinya. Di antara video yang ada ialah tentang ajaran sesat ilmu tasawuf dan sufi master tarekat yang tidak langsung berhubung kait dengan aktiviti Warigh Menuang. Sebaliknya individu tersebut telah menggunakan video yang bertajuk "Menyingkap Kisah Warigh-Warigh Menuang" yang mana adalah milik Tuan Blog ini sendiri.
Sebenarnya video "Menyingkap Kisah Warigh-Warigh Menuang" tidak ada dalam paparan Youtube kerana penulis telah memasukkannya di dalam paparan "Google Video". Untuk kepastian sila lihat paparan di bawah di mana video asalnya "Google Video"dimasukkan 9 bulan yang lepas sedangkan ia dipaparkan di dalam Youtube hanya 3 bulan yang lepas. Penulis juga kesal dengan tindakan individu yang tidak bertanggung-jawab ini yang mengaitkan Warigh Menuang sebagai kumpulan Tarekat Negeri Sembilan sesat tanpa ada buktinya. Penulis mewakili warigh-warigh Menuang yang lain mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan individu tersebut yang cuba memburuk-burukkan nama baik Warigh Menuang.