Saturday, December 26, 2009

Selamat Ulangtahun Pertama Jejak Warigh Menuang.

Pada hari ini 27/12/2009 bersamaan dengan 10 Muharam 1431H, genaplah setahun perhimpunan Warigh Menuang Karim. Dalam usia semuda ini, berbagai-bagai pahit manis yang dirintangi demi memperkukuhkan persaudaraan antara warigh-warigh yang ada. Tidak dapat dinafikan dalam mewujudkan satu gagasan kekeluargaan yang erat, bukanlah satu kerja yang mudah apatah lagi bila menghadapi berbagai-bagai jenis dan ragam manusia. Bak kata pepatah, "Rumah Dah Siap, Tapi Pahat Masih Berbunyi".Inilah dia lumrah dalam kehidupan selagi kita yang dilahirkan ini bergelar manusia, tidak akan pernah sunyi daripada kesilapan, tohmahan, kritikan, cacian, pujian dan sejak azali lagi manusia itu dilahirkan sebagai manusia yang tak akan pernah berpuas-hati. Sememangnya untuk memuaskan hati semua orang bukanlah sesuatu yang mudah kerana manusia itu dilahirkan dengan berbagai-bagai ragam.
Pada hari ini juga, genaplah rasanya setahun Blog Warigh Menuang Karim ini beroperasi untuk menjadi penghubung silaturrahim di antara warigh-warigh yang ada. Ada yang mencemuh, ada yang memuji dan ada juga yang tidak ambil kisah sepanjang kewujudan blog yang tidak seberapa ini. Mengikut pengamatan penulis dalam masa setahun menghidupkan blog ini, tidak ada apa-apa yang dapat dibanggakan kerana kurangnya respon daripada pembaca-pembaca yang ada. Ini termasuklah tiadanya bahan-bahan yang boleh dikongsi bersama sebagai sokongan untuk menjadikan blog ini sebagai satu wadah penyebar maklumat aktiviti-aktiviti warigh-warigh yang ada. Tidak dinafikan juga ada di antara warigh-warigh yang cuba memberikan sedikit input tetapi nisbahnya amatlah mendukacitakan. Mungkin juga kerana terlalu sibuk dengan tugas-tugas seharian, maka kita lupa untuk bersama-sama memperjuangkan dan meneruskan agenda perhimpunan jejak keluarga Warigh Menuang.
Sebagai manusia biasa, penulis juga tidak lepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan dalam menukilkan entri di blog ini. Dengan rasa rendah hati, penulis ingin memohon seribu ampun kemaafan kepada semua warigh-warigh Manuang Karim sempena ulangtahun Perhimpunan Warigh Menuang Karim yang pertama ini. Penulis juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada warigh-warigh yang turut sama menyumbang bahan-bahan untuk blog ini.Rasanya sudah cukuplah setahun penulis memerah minda untuk menjadikan penulisan dan paparan bahan-bahan sebagai tatapan warigh-warigh yang ada, baik yang jauh ataupun dekat. Sebagai mengakhiri penulisan dalam blog Warigh Menuang Karim, sekali lagi penulis memohon agar diampunkan segala dosa kesalahan yang ada dan berdoa agar hubungan kekeluargaan yang dipupuk terus dirahmati Allah swt.

"Selamat Menyambut Ulangtahun Pertama Perhimpunan Warigh Menuang"
"Selamat Menyambut Tahun Baru 2010"

Sunday, December 20, 2009

Kiriman SMS Dari Madinah.

Dalam kegembiraan kita menyambut Maal Hijrah, penulis telah menerima satu pesanan ringkas daripada warigh kita yang masih lagi berada di Madinah. Sebelum ini Tuan Haji Yusof dan Puan Hjh. Maznah mengirim sms dari Mekah tetapi kini mereka berdua telah berada di Madinah. Di antara kandungan sms yang dihantar ialah "Salam, Hotel di Madinah 2 malam kat Nabawi, tingkap kami mengadap masjid. Jemaah dah ramai balik, tiap-tiap hari dapat sembahyang di Raudhah, tapi kena pergi 2 jam sebelum Maghrib. Baru habis, sedang tunggu Isya' 7.10, salam dari Madinah".
Penulis dimaklumkan bahawa kedua-dua mereka akan kembali ke tanahair pada 22/12/2009, jam 8.30 malam. Sama-samalah kita doakan semoga Allah mempermudahkan perjalanan mereka berdua dan sampai ke tanahair dalam keadaan sihat sejahtera.

Monday, December 14, 2009

Selamat Menyambut Awal Muharram.

Pada Hari Khamis bersamaan dengan 17/12/2009, selepas waktu Asar akan berakhirlah tahun 1430H dan bermulalah Tahun Baru Islam yang dinamakan 1 Muharram. Kita disarankan untuk membaca doa di atas selepas akhir waktu Asar iaitu pada masa beberapa minit lagi untuk kita menyempurnakan solat Maghrib. Semoga kita dapat muhasabah diri dan berfikir sejenak akan diri kita setelah setahun kita melalui tahun 1430H.

Sebaik sahaja kita selesai malaksanakan solat Maghrib, kita disarankan pula untuk membaca doa awal tahun 1431H. Semoga tahun baru ini akan menguatkan lagi azam kita untuk memperbaiki segala kepincangan dan kekurangan kita seperti apa yang telah kita lalui pada tahun 1430H.
Penulis mewakili seluruh warga Warigh Menuang Karim mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijriah kepada semua warigh-warigh yang ada.

Saturday, December 12, 2009

Tahnik & Cukur Jambul Dea Qisha.


Bacaan Rawi Barzanji.
Tahnik & Cukur Dilakukan Oleh Bapa Saudara Dea Qisha.
Nenek Dea Qisha Dari Kedah.
Nenek Saudara Dari Seremban.
Datuk Saudara Dari Terengganu.
Datuk Dea Qisha melakukan Cukur Jambul.
Di antara hikmah tahnik adalah agar bayi itu merasa rasa manis sejak pertama kali menghirup udara di alam dunia ini. Dasar praktek ini adalah hadits berikut ini:Dari Abi Musa as berkata, "Aku mendapat kelahiran bayi, lalu bayi itu aku bawa kepada Rasulullah SAW. Beliau SAW lalu memberi nama bayi itu Ibrahim, lalu mentahniknya dengan kurma, serta mendoakannya agar mendapatkan keberkahan, lalu bayi itu dikembalikan kepada saya." (HR Bukhari dan Muslim)

Satu majlis tahnik dan cukur jambul telah diadakan di rumah Saudara Fahmi dan Yan Nazria di USJ Subang Jaya kerana kelahiran anak perempuan mereka iaitu Dea Qisha. Majlis tersebut dimulai dengan bacaan Rawi Kitab Barzanji, Selawat Kepada Rasulullah s.a.w, Marhaban dan doa yang didatangkan khas dari Kampung Pandan, Selangor.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh sanak saudara baik yang jauh ataupun yang dekat serta rakan taulan kedua-dua pasangan ini. Penulis mewakili warigh-warigh yang ada senantiasa mendoakan kesejahteraan hidup kepada kedua-dua pasangan ini bersama-sama dengan anak-anak mereka.

Thursday, December 10, 2009

SMS Dari Kota Mekah .

Balik daripada masjid selepas menunaikan solat Subuh, penulis menerima SMS daripada warigh kita yang kini masih lagi berada di Mekah. Warigh yang penulis maksudkan ialah Tuan Haji Yusof bersama isterinya Puan Hajjah Maznah yang dijangka akan pulang ke tanahair pada 22/12/2009 jam 8.30 malam. Kandungan SMS yang dihantar adalah, "Salam, kami masih di Mekah, sihat, cuma batuk susah nak hilang. Jemaah haji dah ramai balik, jemaah umrah pula mula sampai. Cuaca sejuk 23' C. Kat Madinah lagi sejuk. Jumaat hari ini kena pergi awal 2 jam, selalu sesak. Sekian, salam dari Abang Yusof dan Kak Maznah".
Sama-samalah kita doakan semoga mereka terus di bawah lindungan Allah swt dan diberi kekuatan untuk menempuhi segala ujian. Sesungguhnya tanda seseorang itu beriman ialah mereka diuji terlebih dahulu dan redha dengan pemberianNya.

Friday, December 4, 2009

Kebiadaban Memburukan Warigh Menuang.

sila klik untuk besarkan.

Dalam pencarian "Google" tentang warigh Menuang, maka akan terpaparlah pencarian seperti apa yang dipaparkan di atas.Kebiadaban individu yang mengaitkan aktiviti Warigh Menuang dengan ajaran-ajaran yang bertentangan dengan ajaran agama Islam adalah sesuatu yang patut dikutuk oleh seluruh warga Warigh Menuang. Di antara yang terdapat dalam pencarian laman "Google" tersebut, individu tersebut telah mengaitkan bacaan khutbah Hari Raya oleh salah seorang warigh Menuang dengan amalan ilmu tasawuf moden.
Di sini penulis ingin menyatakan bahawa segala aktiviti yang melibatkan warigh Menuang tidak ada yang berhubung-kait dengan amalan tasawuf moden, amalan tarekat sufi ataupun apa-apa amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Paparan video berkenaan dengan ajaran tarekat yang menari-nari sambil berzikir itu berlaku di Negeri Kedah dan sepatutnya tidak dikaitkan dengan aktiviti warigh-warigh Menuang. Sekali lagi penulis mewakili warigh-warigh Menuang keseluruhannya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan individu yang tidak bertanggung-jawab memburuk-burukkan nama baik Warigh Menuang.

Wednesday, December 2, 2009

Jawapan Kepada Kekeliruan Video Warigh Menuang.

Satu persoalan untuk dirungkai telah ditulis di ruangan shout-mix oleh seorang yang menamakan dirinya sebagai Guest tentang video aktiviti keagamaan yang menggunakan nama Warigh Menuang. Apabila disiasat, memang ada individu yang menggunakan "back-drop" Warigh Menuang sebagai memperkenalkan dirinya. Di antara video yang ada ialah tentang ajaran sesat ilmu tasawuf dan sufi master tarekat yang tidak langsung berhubung kait dengan aktiviti Warigh Menuang. Sebaliknya individu tersebut telah menggunakan video yang bertajuk "Menyingkap Kisah Warigh-Warigh Menuang" yang mana adalah milik Tuan Blog ini sendiri.
Sebenarnya video "Menyingkap Kisah Warigh-Warigh Menuang" tidak ada dalam paparan Youtube kerana penulis telah memasukkannya di dalam paparan "Google Video". Untuk kepastian sila lihat paparan di bawah di mana video asalnya "Google Video"dimasukkan 9 bulan yang lepas sedangkan ia dipaparkan di dalam Youtube hanya 3 bulan yang lepas. Penulis juga kesal dengan tindakan individu yang tidak bertanggung-jawab ini yang mengaitkan Warigh Menuang sebagai kumpulan Tarekat Negeri Sembilan sesat tanpa ada buktinya. Penulis mewakili warigh-warigh Menuang yang lain mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan individu tersebut yang cuba memburuk-burukkan nama baik Warigh Menuang.

Monday, November 30, 2009

Sama-Sama Kita Doa Keselamatan Kuala Pilah.


Gempa bumi lemah berukuran 3.0 pada skala Richter berlaku buat kali keempat di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada pukul 2.30 petang hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, gempa bumi itu berpusat di 22km timur Seremban dan merupakan kejadian terbaru daripada tiga kejadian gempa bumi yang berlaku di lokasi sama sejak semalam.

Kejadian gempa bumi pertama berlaku pada pukul 2.30 petang semalam dan hari ini sebanyak tiga kejadian gempa bumi direkodkan oleh Jabatan Meteorologi yang berlaku pada pukul 12.15 tengah malam, 9.10 pagi dan 2.30 petang ini, menurut kenyataan itu.

Gegaran akibat gempa bumi itu dapat dirasai oleh penduduk di kawasan berkenaan, bagaimanapun, orang ramai tidak perlu berasa bimbang kerana gegaran itu adalah lemah.

Menurut kenyataan itu, kejadian gempa bumi lemah adalah kesan daripada gempa bumi kuat yang berlaku di Indonesia baru-baru ini. BERNAMA

Tahniah - Warigh Kito Monang Saman EMI.


Setelah 10 tahun, penyanyi Aishah hari ini akhirnya berjaya mendapatkan penghakiman dari Mahkamah Tinggi terhadap syarikat EMI (Malaysia) Sdn Bhd yang disamannya kerana memungkiri perjanjian rakaman album pada 1996.

Hakim Datuk Tee Ah Sing memerintahkan syarikat rakaman itu membayar Aishah, atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Arifin, ganti rugi am, yang jumlahnya akan akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah, serta ganti rugi nominal sebanyak RM100.

"Bagaimanapun tuntutan ganti rugi khas ditolak mahkamah atas alasan Aishah gagal mengemukakan bukti terhadap tuntutan tersebut," kata peguam Hasnal Rezua Merican, yang mewakili Aishah, ketika ditemui media di luar mahkamah.

Peguam itu juga memberitahu tuntutan balas EMI bagi mendapatkan ganti rugi sebanyak RM93,071 daripada penyanyi tersebut turut ditolak dengan kos oleh mahkamah.

Penghakiman bertulis Hakim Tee itu dibacakan Timbalan Pendaftar Hilmiah Yusof dalam kamarnya pagi tadi.

Aishah, 44, penyanyi yang popular dengan lagu 'Janji Manismu' itu telah memfailkan saman terhadap EMI pada 6 Dis 1999 bagi menuntut ganti rugi RM406,000, termasuk ganti rugi am, pembayaran royalti, kos dan faedah kerana mendakwa EMI telah memungkiri kontrak yang dibuat antara kedua-dua pihak.

Penyanyi itu mendakwa EMI menamatkan kontraknya sebelum menerbitkan album ketiga seperti yang dijanjikan dalam kontrak yang ditandatanganinya pada 16 April 1996.

Aishah juga mendakwa walaupun kontraknya dengan EMI telah ditamatkan pada 16 Jun 1999, tetapi album hari raya berjudul "Pulanglah Perantau" yang dirakam sebelum itu telah dipasarkan sekitar Ramadhan tahun 2000.

Sementara itu, EMI dalam tuntutan balas mereka mendakwa Aishah enggan mengikuti program promosi album hari raya itu sehingga menyebabkan EMI terpaksa membatalkan program yang telah ditempah dan mengalami kerugian.

Aishah, ketika ditemui pemberita selepas prosiding mahkamah, menyifatkan pengorbanannya selama 10 tahun untuk memperjuangkan kes itu sebagai 'terbalas' dengan keputusan mahkamah yang memihaknya hari ini.

"Apa yang saya buat ini bukanlah kerana duit semata-mata, tetapi kerana prinsip dan kebenaran. Saya hendak buktikan bahawa syarikat-syarikat besar seperti ini tidak boleh bertindak sewenang-wenang terhadap anak seni.

"Bayangkan perasaan saya apabila menerima surat penamatan kontrak melalui pos ekspres sahaja. Saya harap artis-artis muda berhati-hatilah apabila hendak menandatangani kontrak, kalau boleh lantiklah peguam untuk membacakan hak mereka," nasihat Aishah.

EMI diwakili peguam Soo Siew Mei. BERNAMA

Tuesday, November 24, 2009

Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha.

Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: عيد الأضحى 'Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak awal sedikit Hari Raya Aidil Fitri.

Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.

Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.

Bagi warigh-warigh yang berkemampuan adalah disarankan untuk turut serta dalam menjalani ibadat korban walaupun hanya dengan satu bahagian. Selain itu juga peranan kita bersama-sama membantu menyelenggarakan ibadat korban ini seperti penyembelihan, melapah daging, pembahagian daging dan sebagainya adalah satu bentuk pengorbanan juga kerana kita memperuntukkan tenaga dan masa untuk turut serta dalam merealisasikan ibadat korban yang diadakan. Kepada semua warigh-warigh, penulis bersama keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha dan Maaf Zahir Dan Batin.

Saturday, November 7, 2009

Warigh Menuang Tetamu Allah.

Apabila seseorang itu berkunjung ke Baitullah di Tanah Suci Mekah, maka bermakna dia menyahut panggilan Illahi untuk menunaikan ibadat Haji atau Umrah (kedua-duanya waktu musim Haji). Ini menjadikan dia sebagai Utusan/Tetamu Allah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
"Orang yang mengerjakan Haji dan orang yang melakukan Umrah adalah menjadi "Utusan Allah". Jika mereka berdoa, nescaya Allah menerima doa mereka dan jika mereka memohon ampun, nescaya Allah mengampuni mereka". -Riwayat al-Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban daripada Abi Hurairah r.a.
Penulis mewakili warga Warigh Menuang ingin mengucapkan Selamat Pergi Dan Selamat Pulang kepada Tuan Haji Yusof dan Puan Hjh. Maznah kerana telah dijemput sebagai tetamu Allah untuk mengerjakan fardhu haji pada 12/11/2009 bersamaan Hari Khamis. Kedua-dua mereka akan berangkat dari rumah selepas fardhu Asar setelah mereka mendapat panggilan talipon daripada Tabung Haji. Sama-samalah kita doakan kesejahteraan kedua-dua mereka dan dianugerahkan dengan Haji yang mambrur.
"Para Hujjaj dan orang yang mengerjakan Umrah adalah Utusan Allah, Allah mengurniakan kepada mereka apa-apa yang dipinta dan memperkenankan doa mereka, disamping itu Allah menggantikan dirham yang telah mereka belanjakan dengan gandaan seribu kali seribu (satu juta) - Riwayat al-Baihaqi daripada Anas r.a.

Tahniah!!! N9 Juara Piala Malaysia.

Piala Malaysia Milik Negeri Sembilan.
Seluruh warga Warigh Menuang Karim mengucapkan jutaan tahniah kepada pasukan bolasepak Negeri Sembilan setelah menjuarai Piala Malaysia 2009. Kejayaan pasukan bolasepak Negeri Sembilan adalah satu hadiah yang teramat istimewa untuk Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan yang baru, Tuanku Muhriz Ibn Almarhum Tuanku Munawir. Pasukan Negeri Sembilan berjaya mengalahkan pasukan Kelantan 3-1 dengan penuh bergaya. Selain itu tahniah juga diucapkan kepada para penyokong Negeri Sembilan kerana menunjukkan contoh tauladan yang begitu baik apabila menonton perlawanan akhir di antara Negeri Sembilan dan Kelantan dengan penuh adab serta berdisiplin. Kali terakhir Negeri Sembilan berjaya merangkul Piala Malaya (ketika itu) ialah pada tahun 1948. Keceriaan terlukis di wajah Tuanku Muhriz sewaktu menyampaikan hadiah kepada pasukan Negeri Sembilan. Turut hadir bersama baginda ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama Mohammad Hasan dan juga En Khairi Jamaluddin (orang Rembau tu...). Tahniah Hobin Jang Hobin.

Hobin Jang Hobin Song.

Wednesday, November 4, 2009

Selamat Berjuang Pasukan Kito.



Hobin Jang Hobin...itulah kata-kata keramat yang sering dilemparkan oleh para penyokong Negeri Sembilan ketika pasukan itu beraksi. Bagi warigh-warigh yang kaki bola semestinya tidak mahu ketinggalan untuk menonton perlawanan akhir di antara Kelantan dan Negeri Sembilan pada 7hb November ini. Sama-sama kita sokong pasukan "Hobin Jang Hobin" untuk membawa pulang Piala Malaysia sebagai satu hadiah berharga kepada Yang DiPertuan Besar yang baru sahaja ditabalkan. Silap-silap ada di antara pemain Negeri Sembilan yang salasilahnya Warigh Menuang Karim, manakan kita tahu.....

Monday, November 2, 2009

Selamat Bertakhta Tuanku.



Pihak Warigh Menuang mengucapkan tahniah di atas pertabalan Tunku Muhriz Ibni Almarhum Tunku Munawir sebagai Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan yang ke 11.

Thursday, October 22, 2009

Terkenang Semula Warigh-Warigh Lamo.

Allahyarham Wan Ariffin ( Menantu Dato' Ujang Menuang)
Adenan Sulaiman, Zakaria & Nokman.

Adenan Sulaiman (test Norton Bike for Army at Sungai Besi Camp)
Adenan Sulaiman 1956.
Allahyarham Sulaiman Bin Ahmad ( ayah kepada Hj. Adenan)
Adenan bersama Allahyarham Hj. Kamaruddin Dato' Ujang.
Gambar kenangan termasuk bersama Allahyarham Tuan Hj. Mustaffa Bin Ahmad.

Sewaktu sedang menunggu waktu melawat dibuka di Hospital Selayang, penulis telah bertemu dengan Hj. Adenan yang datang untuk menziarahi isterinya. Sambil menjinjing sebuah beg plastik, rupa-rupanya di dalam beg yang dibawa oleh Hj. Adenan mengandungi beberapa gambar lama. Penulis mengambil kesempatan untuk meminjam gambar-gambar yang ada untuk dimuatkan ke dalam blog ini sebagai tatapan warigh-warigh yang lain. Semoga paparan ini dapat mengingatkan kita kepada seseorang yang kita sayangi walaupun tidak ada lagi di dunia ini.

Wednesday, October 21, 2009

Doakan Kesejahteraan Warigh Kito.

Puan Hajjah Maznah di masukkan ke Hospital Batu Gajah Perak kerana sering mengalami demam sejak pulang dari Jakarta. Kemungkinan ada jangkitan kuman seperti apa yang diberitahu kepada penulis. Sama-samalah kita berdoa agar beliau cepat sembuh dan dihindari dari segala penyakit.
Puan Hajjah Rubiah, isteri kepada Tuan Hj. Adenan Sulaiman dimasukkan ke Hospital Selayang untuk melakukan pembedahan batu karang. Sebelum ini beliau pernah melakukan pembedahan di Hospital Seremban. "Ya Allah Ya Tuhan Kami, berilah kesembuhan dan hindarilah kedua-duanya dari sebarang penyakit. Hanya padaMu kami berserah untuk memberi kekuatan kepada kedua-duanya menempuh ujian dari Mu."-Amin.

Sunday, October 18, 2009

Warigh Berbahaso.

Bahaso Asa

Adat basandi syarak
Syarak basandi Kitabullah
Syarak mangato, adat mamakai
Camin nan tidak kabua
Palito nan indak padam.

Usang usang diperbaharui,
Lapuk lapuk dikajangi,

Berjenjang naik,
bertangga turun,

Yang cerdik tempat bertanya,
yang pandai tempat berguru,

Alang tukang kayu terbuang,
Alang cerdik binasa Adat,
Alang alim rosak agama,
Alang sefaham kacau negeri.

Pesaka kepada lelaki,
Seka kepada perempuan.

Yang elok dipakai,
yang buruk dibuang,

Kalau singkat minta disambung,
kalau panjang minta dikerat,
Kalau koyak minta ditampal,

Ibu Adat muafakat.
Dari nenek turun kemamak,
Dari mamak ke kemanakan,

Patah tumbuh hilang berganti,
Pusaka lama begitu jua,

Adat bersendi hukum,
Hukum bersendi syara',
Syara' mengata adat menurut.

Bulat anakbuah menjadikan Buapak,
Bulat Buapak menjadikan Lembaga,
Bulat Lembaga menjadikan Penghulu (Undang),
Bulat penghulu (Undang) menjadikan Raja.

Raja menobat dalam alamnya (negeri),
Penghulu menobat dalam luaknya (daerah),
Lembaga menobat dalam lingkungannya (mukim),
Buapak menobat pada anak buahnya (kampung dan rakyat),
Orang banyak menobat dalam terataknya (rumahtangga).

Gadang jaan malendo
Panjang jaan malindih

Barek samo dipikua
Ringan samo di jinjiang
Ka bukik samo mandaki
Ka lurah samo manurun
Tatungkui samo makan tanah
Tatilantang samo minum ambun
Kamudiak saantak galah
Kahilia sarangkuah dayuang
Maelo karajo jo usao
Mairik parang jo barani

Budi jan tajua
Paham jan tagadai
Nan kayo iyolah kayo di budi
Nan mulieh iyolah mulieh di basa

Condong mato ka nan rancak
Condong salero ka nan lamak
Rancak di awak
Katuju di urang

Tagak samo tinggi
Duduak samo randah

Nan buto paambuih lasuang
Nan pakak palapeh badia
Nan lumpuah paunyi rumah
Nan binguang disuruah-suruah
Nan cadiak lawan barundiang
Mamakan habih-habih
Manyuruak hilang-hilang

Panakik pisau sirauik
ambiak galah batang lintabuang
silodang ambiak ka niru
nan satitiak jadikan lauik
nan sakapa jadikan gunuang
alam takambang jadi guru

Malangkah di ujuang padang
Basilek di ujuang karih
Kato salalu baumpamo
Rundingan nan banyak bamisalan

Bulek aia kapambuluah
Bulek kato dek mufakat
Bulek baru digolekkan
Tipih baru dilayangkan

Nan merah ialah sago
Nan kurik ialah kendi
Nan indah ialah baso
Nan baik ialah budi

Babeda padang babeda balalang
Babeda lubuak babeda pulo ikannyo
Cupak sapanjang batuang
Adaik salingka nagari

Rasan aia ka aia
Rasan minyak ka minyak
Buayo gadang di lautan
Gadang garundang di kubangan
Nan babungkuih rasan daun
Nan bakabek rasan tali

Lain lubuak lain ikannyo
Lain padang lain belalalngnyo
Lain nagari lain adatnyo

Baadat sapanjang jalan
Bacupak sapanjang batuang

Kok pergi anak merantau,

Mandilah di bawah bawah,

Menyauk di hilir hilir,

Tapi kok di pauk orang bendar sawah,

Dialihnya lantak sempadan,

Dogakkan dada berjuang,

Perlihatkan tanda anak lelaki,

Jangan takut tanah jadi merah,

Esa hilang, kedua terbilang,

Sebelum ajal berpantang mati,

Bila didalam kebenaran,

Biar dipancung leher putus,

Setapak nan jangan namanya surut.

Kalau menumbuk tidak dilesong lagi,

Kalau bertanak tidak diperiuk lagi.

Langit berkelikir,

Bumi bertemberang,

Hendaklah berfikir,

Negeri dah dikelilingi orang

Penghulu bernobat dalam Luaknya,

Hak bergedonong,

Berumpuk seorang satu,

Berharta masing masing,

Berlopak lopak bak sawah,

Beruang ruang bak durian,

Harta orang jangan ditarik,

Harta sendiri jangan di agih.

Tuesday, October 13, 2009

Jawapan Warigh Menuang Ke Jakarta

Salam sejahtera kepada semua warigh-warigh yang ada. Persoalan demi persoalan timbul dari beberapa warigh tentang rombongan Warigh Menuang ke Jakarta seperti apa yang penulis paparkan sebelum ini. Malah ada yang bertanya apakah tujuan sebenar rombongan ke Jakarta sehinggakan kesemua warigh dari pihak laki-laki berbaju Melayu lengkap bersamping. Untuk merungkai segala persoalan yang ditimbulkan maka penulis memaparkan beberapa rakaman video sebagai jawapan kepada segala persoalan yang ditimbulkan. Diharap dengan paparan video ini telah menjawab segala persoalan tanpa penulis memaklumkannya melalui coretan.









Spanish Villa Seremban.

Tuesday, October 6, 2009

Rombongan Menuang Ke Jakarta.

Pesawat Air Asia Yang Membawa Kami.
Pusat Jualan Baju Dan Kain Yang Murah Di Tanah Abang.
Urut atau pijat (bahasa Indonesia) di terminal lapangan terbang.

Senapang dijual di tepi jalan.
Farid bersama kakitangan Hotel Sahid Jaya. Mencuba Senapang.
Hj Nazri kepenatan shopping di Tanah Abang. Rombongan Menuang.
Hotel Sahid Jaya tempat penginapan kami. Hjh Maznah & Norehan di lobby hotel.
Berjalan-jalan di kota Jakarta.


Bersarapan pagi di Hotel Sahid Jaya.

Pada tanggal 2/10/2009, rombongan Menuang telah berlepas ke Jakarta untuk program silaturrahim di sana. Rombangan seramai 11 orang berada di Jakarta selama 5 hari. Berbagai-bagai adat, budaya, bahasa dapat dipelajari dalam waktu yang singkat kami di Jakarta. Alhamdulillah, dengan izin Allah swt, kami dilindungi tanpa ada apa-apa perkara yang buruk berlaku sepanjang kami di sana sehinggalah kami pulang semula ke Malaysia pada 6/10/2009. Sesungguhnya rombongan seperti ini lebih mengeratkan lagi silaturrahim antara kami semua sambil berkenalan dengan penduduk-penduduk di Jakarta. Sempat jugalah rombongan Menuang ini bergelar jutaan di Jakarta kerana nilai wang yang digunakan adalah dalam bentuk rupiah antara ribu dan juta.

Thursday, September 24, 2009

Warga Baru Warigh Menuang 1 Syawal.


Petang 1 Syawal telah melakar satu sejarah dengan kelahiran warga baru Warigh Menuang. Bayi yang dilahirkan oleh Yan Nazria Bt. Syamsul Redzuan diberi nama Dea Qisya Bt. Mohd Fahmi. Dea Qisya dilahirkan di Subang Jaya Medical Centre dalam keadaan sihat walafiat. Selamat Datang ke dunia Warigh Menuang Karim.