Thursday, September 24, 2009

Warga Baru Warigh Menuang 1 Syawal.


Petang 1 Syawal telah melakar satu sejarah dengan kelahiran warga baru Warigh Menuang. Bayi yang dilahirkan oleh Yan Nazria Bt. Syamsul Redzuan diberi nama Dea Qisya Bt. Mohd Fahmi. Dea Qisya dilahirkan di Subang Jaya Medical Centre dalam keadaan sihat walafiat. Selamat Datang ke dunia Warigh Menuang Karim.

Wednesday, September 23, 2009

Satu Hari Di Hari Raya.

Jemaah Di Surau Pondok.

Kifiat Solat Idilfitri Oleh Hj. Zuhaidi Bin Hj. Abd. Wahab.
Muslimat Di Surau Pondok.
Bermaaf-maafan Selepas Solat.
Ziarah Pusara Selepas Solat Idilfitri.
Bertahlil Untuk Warigh-Warigh Yang Sudah Tiada.

Wednesday, September 16, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin.

Jika mengikut kiraan rukyah maka Hari Raya Idulfitri akan jatuh pada 20/09/2009 bersamaan Hari Ahad. Penulis bersama-sama keluarga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua Warigh-Warigh Menuang. Penulis dan keluarga juga ingin memohon ampun dan maaf sekiranya ada perkataan, perbuatan, penulisan dan sebagainya yang menyinggung hati warigh-warigh semua.
Selain itu penulis juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Saudara Mohd Yunus Bin Ahmad, Saudara Adenan Bin Sulaiman yang telah mengirimkan kad raya kepada penulis. Bagi warigh-warigh yang menghantar secara maya iaitu email, penulis mengucapkan jutaan terima kasih. Di kesempatan ini, penulis dan keluarga menjemput semua warigh-warigh datang ke Batu Kikir untuk berhari raya sambil kita beramah mesra. Insya'allah, penulis dan keluarga akan pulang berhari raya di Batu Kikir pada Hari Sabtu 19/09/09 dan bersolat sunnat Hari Raya di Surau Pondok Al-Majiddiah.

Tuesday, September 15, 2009

SMS Dari Masjidil Haram Mekah.

"Assalamualaikum, saya sekarang dalam Masjidil Haram, baru habis iktikaf menunggu Zuhor. Yusof ikut group pergi tana'im buat Umrah. Cuaca 44 darjah Celcius, orangramai bagai semut seperti buat Haji. Malam tadi qiamulai, Imam dan makmum menangis sakan. Saya tak pernah ikut berdoa qunut macam tu, seram dan cukup panjang, 45 minit. Qiam daripada jam 1-3 pagi. Lepas tu balik hotel sahur pergi balik ke masjid tunggu Subuh. Pratically tak tidur malam, tapi seronok!. That's it for the time being, salam dari Mekah."
SMS yang saya terima adalah dari Puan Hajah Maznah yang kini berada di Tanah Suci Mekah. Mungkin video di bawah boleh menterjemahkan apa yang dirasa oleh Puan Hjh Maznah.

Sunday, September 13, 2009

Pulanglah Ke Kampung - Bingkisan Dari Warigh Kito.

Ramadhan hampir melabuhkan tirainya tak sampai beberapa hari sahaja lagi. Orang tua di kampung sudah membilang-bilang hari dan menyebut-nyebut tentang kepulangan anak-anaknya untuk berhari raya. Berbagai juadah pula telah disediakan oleh orang tua kita mengikut kegemaran anak-anaknya sebagai santapan anak-anak cucu bila pulang ke kampung. Pusara-pusara di kampung yang mempunyai pertalian darah dengan kita seakan-akan menunggu kedatangan warigh-warigh mereka datang menziarahi kubur mereka sambil membawa sedikit hadiah berupa Al-Fatihah dan bacaan-bacaan doa. Sanak-saudara di kampung juga semakin tak sabar nak berjumpa warigh-warigh yang dah lama terpisah dek kesibukan tugas masing-masing.
Ayuh warigh-warigh semua, jangan kita hampakan perasaan orang tua kita yang masih ada serta sanak-saudara yang mengharap kepulangan anak-anak cucu mereka. Tiada alasan untuk kita tidak pulang jika kita sayangkan ibu-bapa kita yang dah lama tak kita jenguk. Tak akan jadi miskin jika kita korbankan sedikit perbelanjaan demi untuk menjenguk orang tua kita di kampung. Mereka tidak mengharapkan apa-apa selain daipada kepulangan anak-anak cucu sebagai menghilangkan rasa kesunyian setelah lama dibiarkan bersendirian. Orang tua kita tidak pernah berkira dengan kita maka janganlah kiranya kita berkira-kira perbelanjaan hanya untuk menjenguk mereka-mereka yang mengharapkan kepulangan kita. Semoga bingkisan dari warigh kita ini boleh kita jadikan satu renungan.

Thursday, September 10, 2009

Ziarah Menziarahi Amalan Mulia.

Keperihatinan Puan Hjh Maznah menziarahi sambil menjejaki warigh warga emas seharusnya menjadi ikutan warigh-warigh yang lain. Pada bulan lepas, Puan Hjh Maznah telah meluangkan masa untuk menziarahi Puan Halidah (Jama) di kediaman beliau. Puan Halidah (Jama) ialah ibu saudara kepada Tan Sri Dato' Shahrom Nordin. Lebih tepat lagi, Puan Halidah atau dikenali dengan panggilan Jama adalah dari keturunan Omok Miah dari perut Noresah dan Deli. Semoga program ziarah menziarahi ini akan terus kekal apatah lagi kita akan menyambut kedatangan Idulfitri tidak lama lagi. Sama-samalh kita doakan agar Puan Jama terus diberi kesihatan yang berpanjangan olah Allah swt.

Kenangan Terus Segar.

Ini adalah gambar beberapa Warigh Menuang yang diambil pada zaman dahulu kala. Salah seorang warigh yang terdapat di dalam gambar ini ialah Allahyarham Husien Bin Othman. Gambar ini diambil sewaktu beliau masih lagi belum berumahtangga dengan Puan Aminah. Mungkin ada di antara warigh-warigh yang dapat mengecam gambar-gambar warigh yang ada. Semoga paparan gambar ini dapat mengingatkan kita kepada seseorang yang kita kasihi.

Wednesday, September 9, 2009

Selamat Pergi & Selamat Kembali.

Tuan Hj. Yusof Dan Puan Hjh. Maznah Bersedia Untuk Berangkat.
Jiran yang Perihatin Mengunjungi Mereka Berdua.
Persiapan Untuk Ke Tanah Suci Mekah.

Penulis mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Pergi Dan Selamat Kembali kepada Tuan Haji Yusof dan Puan Hjh Maznah yang akan berangkat ke Tanah Suci Mekah pada 10/09/2009 untuk mengerjakan umrah. Mereka akan berada di Mekah selama 14 hari dan seterusnya menyambut Hari Raya Idulfitri di sana. Adalah difahamkan bahawa mereka akan pulang ke Malaysia pada 24/09/2009.
Mungkin ada di antara warigh-warigh Menuang yang lain juga pergi menunaikan ibadat umrah sewaktu bulan Ramadhan. Ini biasanya menjadi kelaziman bagi umat Islam yang berkemampuan kerana ganjaran yang dijanjikan oleh Allah swt berlipat-lipat ganda bagi mereka yang mengerjakan ibadat di Mekah dan Madinah. Sama-samalah kita doakan agar pemergian Tuan Haji Yusof dan Puan Hjh Maznah dilindungi Allah swt dikurniakan dengan umrah maqbullah.

Monday, September 7, 2009

Alahai Anak Omak!!!!!!!

Kutip bunga telur untuk buat lauk pada malam hari nanti.
Nak main gelonsor, gunakan tangga rumah.

Kalau nak dibandingkan kehidupan anak-anak Warigh Menuang tahun 60an dengan sekarang memang amat jauh bezanya. Mana tidaknya, zaman dahulu anak-anak Warigh Menuang hidup tidaklah semewah sekarang ini. Setiap tahun anak-anak Warigh Menuang kini dapat merasa pakaian baru dari kepala hinggalah ke kaki apabila tibanya Hari Raya. Ini tidak termasuk apabila masuk alam persekolahan baru, semuanya serba baru dan serba canggih. Harga setiap satu juga boleh tahan harganya.
Teringat penulis bila mengenangkan zaman dahulu bagaimana kami adik-beradik mengenakan pakaian untuk berhari raya. Kami hanya menggunakan kasut sekolah bila berjalan raya beramai-ramai. Dari jauh orang sudah kenal identiti kami dan anak siapakah yang datang. Ini disebabkan kami mempunyai ramai adik-beradik dan sikap arwah ayah kami yang begitu berjimat cermat demi untuk membesarkan anak-anaknya yang ramai seharusnya menjadi pengajaran bagi anak-anak sekarang ini.
Walaubagaimanapun keadaan anak-anak Warigh Menuang zaman dahulu, mereka dibesarkan dengan penuh ketelitian dalam bab menghormati orang tua, bab agama serta bab mengenal saudara mara baik jauh ataupun dekat. Inilah yang tidak terdapat pada anak-anak Warigh Menuang zaman ini walaupun dibesarkan dengan penuh kesempurnaan dalam segi materealistiknya.