Wednesday, July 29, 2009

Panduan Untuk Warigh Semua.

Qunut nazilah merupakan salah satu daripada tiga jenis qunut yang sunat dibaca dalam solat mengikut mazhab Syafie selain qunut dalam solat subuh dan qunut pada separuh malam kedua terakhir dalam solat witir di bulan Ramadhan.
Qunut nazilah sunat dibacakan ketika umat Islam didatangi bala bencana atau ditimpa musibah seperti ketakutan, ditimpa wabak, diserang belalang dan sebagainya. Qunut ini tidak dibaca jika umat Islam tidak didatangi dengan ujian-ujian seperti ini.
Bacaan Qunut Nazilah di zaman Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam pernah dibacakan oleh Rasulullah s.a.w ketika kejadian pembunuhan beramai-ramai 60 orang penghafaz Al-Quran selama sebulan berdasarkan hadis yang maksudnya:
Sesungguhnya Nabi sallallahu`alaihiwasallam telah membaca doa qunut pada waktu selain dari Subuh sewaktu pembunuhan sahabat-sahabatnya penghafaz-penghafaz Al-Quran. - Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sejak kebelakangan ini, berbagai musibah berupa penyakit-penyakit baru yang diturunkan oleh Allah swt kepada hambanya. Terbaru ialah penyakit H1N1 yang telahpun meragut nyawa rakyat Malaysia sendiri. Sesungguhnya segala apa yang diturunkanNya mengandungi hikmah yang kita sendiri tidak dapat memikirkannya disebabkan keterbatasan pemikiran kita. Oleh itu kita disarankan untuk mengikut sunnah Rasulullah s.a.w dengan mengamalkan bacaan qunut Nazilah setiap kali datangnya bencana. Lafaz doa tersebut adalah seperti berikut:

Klik utk. besarkan.

Maksudnya “ Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu. Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur
Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan."

Aminn... aminn.. aminnn... Ya Rabbal'alamin...


Saturday, July 18, 2009

Program Balik Kampung Bersama Warigh.

Khalid sedang menjolok buah manggis.
Pintu Utama Surau Pondok.
Cerucuk Sebelah Surau Pondok.
Warung Cendol Hj.Kamil Bin Hj. Adam.
Warigh-Warigh Sedang Menikmati Cendol.
Tokey Cendol Hj Kamil sedang melayan warigh-warigh yang datang.

Pada 18/07/09 bersamaan Hari Sabtu, program balik kampung untuk menziarahi warigh-warigh di kampung telah diadakan. Perhentian pertama ialah di rumah Arwah Dato' Haji Zainal Bin Deli di Seremban. Di rumah tersebut kami telah bertemu dengan Puan Hajjah Che Mah, Haji Hisham, Capt Fuad dan isterinya.Kami dijamu dengan sarapan pagi nasi lemak dan kueh mueh yang sungguh menyelerakan. Seterusnya kami bergerak ke Batu Kikir dan menziarahi Puan Hajjah Samekyah. Kami dijamu dengan memakan buah manggis yang dipetik oleh Mohd Khalid.(Abang penulis). Seterusnya kami ke rumah Tuan Haji Ahmad Haji Abd Majid, tetapi beliau tidak ada di rumah.Selepas itu kami ke Surau Pondok untuk melihat-lihat perkembangan terkini mengenai surau tersebut.
Sebelah tengahari kami ke Bahau untuk menikmati jamuan makan tengahari di Restoran Bunga Raya. Jamuan ditaja oleh Tuan Hj Nazri dan kami dijamu dengan lauk ayam hutan masak lemak cili api. Selepas menjamu selera kami terus ke warung cendol Hj. Kamil. Sekali lagi Tuan Hj Nazri menjadi penaja dan kami mengucapkan ribuan terima kasih atas layanannya ke atas kami.Kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur selepas fardhu zuhor.Sesungguhnya perjalanan yang agak jauh ini tidak terasa kerana keseronokkan yang kami rasa mengatasi kepenatan yang ada.Insya'allh kami akan berkunjung pula ke kampung warigh-warigh yang lain jika diizinkan Allah.

Program Ziarah Diteruskan.

Cik Alang Sofia.
Haji Md. Nor Bin Abd. Rahman.
Hajjah Habibah.
Dari kiri: Hj. Md. Nor, Hj. Hisham, Nokman, Cik Alang Sofea, Hj. Yusof, Hjh. Maznah & Hjh. Habibah.

Program ziarah menziarahi warigh-warigh Menuang masih diteruskan oleh warigh-warigh yang begitu perihatin untuk menjejaki warigh-warigh warga emas. Beberapa warigh yang perihatin telah berkunjung ke rumah Haji Md. Nor di Taman Ehsan, Kepong. Program ini dibuat untuk mengeratkan lagi silaturrahim di antara warigh-warigh Menuang agar apa yang pernah diwar-warkan tidak tinggal sebagai slogan. Pertemuan bersama-sama warga emas ini amat bermakna sekali sambil kita memperkenalkan diri kita setelah lama tidak berhubung antara satu sama lain.Sememangnya menjadi adat, yang muda mencari yang tua sebagai tanda hormat dan kasih yang muda kepada yang tua.Semoga program-program sebegini akan terus dilakukan demi menyatupadukan keluarga Warigh Menuang.

Wednesday, July 15, 2009

Semoga Cepat Sembuh.


Puan Hajjah Aminah Othman iaitu ibu kepada Puan Maznah telah dimasukkan ke hospital pada 14/07/2009. Beliau ditempatkan di Tingkat 3, Wad 3B Katil 18 Hospital Putrajaya. Punca penyakitnya belum disahkan lagi oleh doktor kerana belum dilakukan rawatan secara terperinci lagi.
Penulis sempat menziarahi Puan Aminah dan beliau mengadu sakit pada perutnya selepas dimasukkan ubat.Turut bersama menziarahi ialah Dato' Haji Mohammad dan isteri, Puan Maznah , Haji Yusof dan anaknya, Puan Zahrah dan suami serta anak perempuan Puan Aminah dari Terengganu bersama suaminya.
Sama-samalah kita mendoakan agar Puan Aminah diberi kekuatan dan dilindungi Allah swt serta cepat sembuh untuk menjalankan kehidupan seharian.Sesiapa yang berkelapangan bolehlah menziarahi beliau di Hospital Putrajaya.

Monday, July 13, 2009

Dua Bulan Sebelum Dia Pergi.

Gambar ini diambil sekitar bulan Ogos 1991. Pemergian pengasas salasilah Warigh Menuang Karim ke rahmatullah ialah pada 14hb Oktober 1991. Ini bermakna gambar ini diambil dua bulan sebelum Almarhum Haji Mohammad Salleh Bin Jawal menghembuskan nafasnya yang terakhir. Bayi yang didukung oleh Almarhum adalah anak sulong penulis yang kini sudah pun berumur 18 tahun. Ini adalah pertemuan pertama dan terakhir di antara bayi tersebut dengan datuknya tanpa sempat mengenali keperibadian datuknya yang sukakan kanak-kanak.
Sempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang akan datang, penulis bersama-sama dengan Ahli Jawatankuasa Blok E15 akan mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil arwah untuk dihadiahkan kepada Almarhum Haji Mohammad Salleh Bin Jawal yang merupakan ayah kandung penulis sendiri. Mesyuarat untuk majlis tersebut akan diadakan pada 18/07/2009 bersamaan Hari Sabtu, jam 8.00 malam di rumah penulis sendiri. Penulis akan mewar-warkan tarikh majlis tersebut serta akan menjemput warigh-warigh yang berkelapangan untuk hadir sama. Majlis seperti ini sebenarnya dilakukan setiap tahun sejak pemergian Almarhum ke rahmatullah. Al-Fatihah.

Wednesday, July 8, 2009

Jemputan Walimatul Urus Tuan Haji Nazri Adam.

Warigh-warigh Menuang dijemput untuk menghadiri majlis walimatul urus pernikahan anak perempuan Tuan Haji Nazri Bin Hj Adam dan Puan Hajjah Zainab Abd. Hamid.Majlis walimatul urus tersebut akan diadakan pada 08hb Ogos 2009 bersamaan Hari Sabtu, bertempat di rumah Tuan Haji Nazri di alamat 3926, Taman Tuanku Puan Chik, 72100 Bahau, Negeri Sembilan.
Pernikahan tersebut adalah di antara Nur Hazirah Nazri bersama pasangannya Hardy Syahrizal Hamzah.
Sama-samalah kita meluangkan masa untuk menghadiri majlis walimatul urus ini bagi menyemarakkan lagi hubungan silaturrahim antara kita.Disamping itu sama-samalah kita berdoa agar kedua-dua mempelai dipanjangkan jodoh hingga ke akhir hayat dan majlis walimatul urus ini diberkati oleh Allah swt.Selamat Pengantin Baru untuk kedua mempelai.

Sunday, July 5, 2009

Tawaran Untuk Anak-Anak Warigh Menuang.


Hebahan ini adalah untuk anak-anak Warigh Menuang yang berminat untuk menjadi jurutera dalam mengendalikan enjin pesawat kapalterbang. Sas Aero (M) Sdn. Bhd. menawarkan latihan untuk menjadi jurutera pembaikan kapalterbang dengan kerjasama UniKL.
Bagi warigh-warigh yang berminat bolehlah melayari blog http://www.sasaero.blogspot.com. atau berhubung terus dengan penulis.