Wednesday, December 31, 2008

Pengasas Salasilah Keluarga Menuang.

Penyambung Warisan Carta Salasilah Keluarga Menuang Bersama Isteri Almarhum Hj. Mohammad Salleh Bin Jawal.

Almarhum Haji Mohammad Salleh Bin Jawal telah mula mengasaskan carta salasilah keluarga Menuang Karim pada penghujung tahun 70an.Beliau mula mencari nama-nama waris dan mengabdikannya di atas sekeping kertas berukuran AO iaitu kertas yang digunakan untuk melukis pelan.Pencarian waris yang diusahakan oleh beliau telah menghasilkan satu carta salasilah keluarga Menuang yang tersusun rapi.Beliau akan menunjukkan hasil kerja beliau kepada setiap sanak-saudara yang bertandang ke rumah sambil bertanya tentang beberapa nama yang beliau tidak pasti untuk dimasukkan ke dalam carta tersebut.

Sejarah Tentang Almarhum.

Beliau dilahirkan sekitar tahun 1917 dan merupakan anak tunggal perkahwinan Naemah dan Jawal.Beliau berpendidikan Senior Cambridge dan amat fasih bila berbahasa Inggeris.Maka tidak hairanlah apabila beliau lebih gemar membaca New Straits Time yang merupakan akhbar hariannya.Hobi beliau ialah membaca dan dengan itu beliau banyak membelanjakan wang untuk membeli buku-buku yang semuanya dalam bahasa Inggeris.

Sikap Beliau.

Beliau adalah seorang yang amat tegas dan berpegang kepada prinsip hidupnya sendiri.Jika ada sesuatu perkara yang tidak berkenan di hatinya maka beliau lebih gemar berterus-terang dan tidak suka bercakap di belakang.Ketegasan beliau itulah membuatkan beberapa sahabatnya hormat kepada pendiriannya.Namun begitu beliau seorang yang menitik-beratkan amalan ziarah menziarahi dan bersikap pemurah kepada semua orang.Contohnya apabila beliau pergi menunaikan solat Juma'at maka beliau akan membawa beberapa jemaah untuk makan tengahari bersama beliau dan menghidangkan apa saja yang ada.Kalau tiba waktu Hari Raya, beliau akan pergi mencari saudara-maranya untuk dibawa ke rumah dan menghantarnya pulang semula.Beliau mengamalkan sikap bersederhana dan tidak tamak maka tidak hairanlah apabila beliau menolak jika ada peluang untuk memiliki rumah murah dan tanah.Alasan yang diberi ialah "kita tak sepatutnya merampas hak orang yang lebih memerlukannya".Selain itu beliau amat suka membantu orang yang di dalam kesusahan.Seringkali beliau akan menghidupkan enjin keretanya untuk menghantar beberapa orang yang dilihat sedang menunggu bas di hadapan rumah beliau.Jika tiba musim buah, beliau akan mengumpulkan buah-buahan tersebut untuk dihantar kepada sanak-saudaranya.Beliau amat tidak gemar jika ada sesiapa yang suka berbohong dan tidak menepati janji kerana amalan begini tidak pernah dilakukannya.

Beliau berkahwin dengan Hajjah Samekyah Bte. Husin dan dikurniakan 13 orang anak.Namun ketetapan Illahi telah menjemput 3 orang anaknya sewaktu masih kecil dan kini tinggallah 10 orang sahaja.Sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau telah menyediakan peralatan untuk digunakan sewaktu kematiannya nanti.Antaranya beberapa keping papan untuk menutup lahad, kain putih untuk mengkafankan beliau, mengeluarkan kesemua wang simpanannya dan sebagainya.Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 14hb. Oktober 1991 sewaktu sedang sujud solat Isya' dan berumur 74 tahun.

Carta salasilah Keluarga Menuang Karim yang diusahakannya telah disambung oleh anak buahnya iaitu Puan Hajjah Maznah Bt. Husein yang merupakan Setiausaha Perhimpunan Warigh Menuang Karim.Kegigihan Puan Maznah menyambung kerja yang ditinggalkan oleh Almarhum Haji Mohammad Salleh maka tercetuslah satu perhimpunan yang dihadiri hampir 500 orang dari keluarga Menuang Karim.Puan Maznah merupakan waris dari keluarga Naemah dan Kasan, iaitu sebelum Naemah berkahwin dengan Jawal.

Nota: Semoga Allah swt mencucuri rahmatnya ke atas roh Almarhum Haji Mohammad Salleh Bin Jawal dan juga memberkati usaha yang telah diteruskan oleh Puan Hajjah Maznah Bte. Husein. Amin.

No comments: