Thursday, January 22, 2009

Catatan Dari Meja Setiausaha Warigh Menuang.

Gambar Keluarga Setiausaha Perhimpunan Warigh Menuang dulu-dulu.


Gambar terbaru Setiausaha bersama keluarga.

Bagi mengisi masa lapang selepas bersara, saya terpanggil untuk menyambung salasilah keluarga Menuang Karim yang mula disediakan oleh aruah datuk saudara saya, Allahyarham Haji Mohamad Salleh Bin Jawal pada tahun 1970an.
Hampir 2 tahun berusaha menjejaki, akhirnya hajat menyiapkan salasilah keluarga enam generasi waris Menuang Karim bersama isterinya Sa'aliah selesai.

Menuang Karim berasal dari Kuala Rembang Panas, Kuala Pilah Negeri Sembilan.Pasangan Menuang Karim dan Sa'aliah telah dikurniakan 7 orang anak iaitu Minal,Ahmad,Naemah,Siti (Tiaya),Bador,Noresah (Ecoh) dan Ujang.Walaupun generasi pertama Menuang Karim sudah tidak ada lagi,generasi kedua masih ada seramai 3 orang.Yang tertua sudah mencapai umur 93 tahun.

Perhimpunan jejak kasih Warigh Menuang Karim yang julung-julung kali diadakan telah berjaya dan menjejaki hampir 500 orang.Perhimpunan yang berlangsung dalam suasana gilang-gemilang dan ceria itu telah diadakan pada 28/12/2008 di Sekolah Sri, Jalan Dato' Kelana Ma'mor, Seremban,Negeri Sembilan.Perhimpunan warigh dengan motto "Yang Jauh Kito Dokekkan,Yang Dokek Kito Himpunkan"tetap ada keistimewaannya tersendiri kerana berjaya mengenemukan waris-waris yang belum pernah berjumpa.Ini dapat dilihat dari kesungguhan ahli keluarga untuk berkumpul kerana sesetengah mereka datang dari jauh seperti dari Kelantan,Pulau Pinang,Grik,Perak dan lain-lain lagi.Mereka sanggup datang ke Seremban semata-mata untuk bertemu dan menjayakan majlis perhimpunan yang diatur.
Walaupun pertemuan itu singkat, aktiviti lain seperti cabutan bertuah turut diadakan untuk menggamatkan suasana.Acara kemuncak adalah sesi bergambar beramai-ramai bagi mengabdikan kenangan perhimpunan yang bersejarah itu.
Dalam pertemuan yang singkat itu, matlamat untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan, merapatkan hubungan persaudaraan dan mewujudkan keserasian serta kenal mengenali antara ahli keluarga terutama golongan tua dan muda tercapai, sekaligus menjadikan majlis itu cukup bermakna sekali.
Majlis Perhimpunan Warigh Menuang Karim itu turut memperlihatkan satu warisan keluarga Menuang Karin dan Sa'aliah yang sudah memasuki generasi ke-6 dan seramai 1580 anak-cucu keturunannya dikenal pasti.
Dalam usaha mengesan salasilah keturunan keluarga, terdapat beberapa tokoh ternama dan berjasa kepada negara ini dikenal pasti.Di antara tokoh-tokoh yang ternama itu termasuklah Laksamana Tan Sri Dato' Seri Mohd Anwar Bin Haji Mohd Nor (B), bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Dato' Seri Mohd Shahrom Bin Dato' Haji Nordin(B), bekas Panglima Tentera Darat, Allahyarham Dato' Haji Zainal Bin Deli, bekas Ketua Polis Negeri Sembilan serta 3 orang tokoh agama yang pernah dianugerahkan Tokoh Ma'al Hijrah Negeri Sembilan iaitu Allahyarham Dato' Haji Mustaffa Bin Hj. Ahmad,Tuan Guru Haji Abdul Majid Bin Abdul Karim dan Dato' Haji Mohamed Bin Husein (Pengerusi Warigh Menuang Karim).Selain itu warigh Menuang juga telah melahirkan seorang celebriti terkenal tanahair iaitu Wan Aishah Bte. Wan Ariffin yang pernah popular dengan lagunya "Janji Manis Mu".
Idea untuk menghimpunkan Warigh Menuang Karim ini timbul selepas selesai menyiapkan salasilah keluarga pada akhir bulan Jun 2008.Untuk melaksanakan cita-cita itu, satu jawatankuasa telah dibentuk yang dipengerusikan oleh Dato Haji Mohamed Bin Husein dan terdiri dari 13 orang ahli keluarga dibentuk pada akhir bulan Oktober 2008.Ahli jawatankuasa hanya sempat bermesyuarat sebanyak 4 kali sahaja iaitu setiap 2 minggu sekali bagi merealisasikan perhimpunan ini.Pujian harus diberi kepada Jawatankuasa Pengelola kerana kehebatan mereka yang telah bekerja keras dan komited untuk merealisasikan perhimpunan yang julung-julung kali diadakan dengan penuh gilang-gemilang.

Catatan Dari : Puan Hajjah Maznah Bte. Husein. (Setiausaha Penyambung Warisan Salasilah Warigh Menuang Karim).

No comments: