Saturday, January 17, 2009

Dato' Haji Mustaffa Bin Haji Ahmad - Ulama Disegani.

Gambar Diambil Pada 04/03/1985 di Istana Besar Seri Menanti.

Dato' Haji Mustaffa Bin Haji Ahmad (DSNS,PPT,PJK) dilahirkan di kampung Padang Balang Jempol Negeri Sembilan pada malam Rabu 10/05/1922 bersamaan 12 Ramadhan 1340 Hijrah.
Beliau merupakah salah seorang ulama dari warigh Menuang Karim yang amat disegani dan dihormati.

Keluarganya.

Bapanya Tuan Haji Ahmad Bin Menuang Karim meninggal di Mekah pada tahun 1952 dalam usia 79 tahun.Ibunya Sa'ilam Binti Imam Johan meninggal di kampung Padang Lalang Jempol pada 1923.Beliau berkahwin dengan Hajjah Rokiah Binti Muin, Kampung Tengah Batu Kikir Jempol pada hari Ahad 15/01/1947 bersamaan 22 Safar 1366H dan di anugerahkan 5 orang anak.Anaknya yang sulong seorang perempuan dan menjadi guru agama.Yang kedua meninggal dunia sewaktu kecil (lelaki) dan yang tiga lagi lelaki ( 2 orang bekerja sendiri) dan yang bongsu menjadi Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan.

Didikannya.

Dato' Haji Mustaffa Haji Ahmad mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Terusan pada 1929-1934.Kemudian berada dalam darjah latihan guru Tahun 1.Beliau seterusnya belajar di pondok Tuan Haji Muhamad di Jempol pada tahun 1935-1936.Beliau melanjutkan pengajian agamanya di Darul Ullum Mekah pada tahun 1937-1944.Beliau berkelulusan Syahadat Nahiyah Minnal Qasmi Al'Ala iaitu sijil tertinggi dari Darul Ullum Mekah sambil mengaji sambilan di dalam Masjidil Haram dan di tempat-tempat kumpulan tertentu di Mekah pada tahun 1937-1946.

Guru-Gurunya.

Selain dari guru-gurunya di Darul Ullum Mekah, beliau mendapat pendidikan daripada ramai guru-guru agama yang lain. Di Antara guru-gurunya ialah:
1) Tuan Haji Ahmad Bilal - Padang Lalang Jempol.
2) Tuan Lebai Abd. Kahar-Padang Lalang Jempol.
3) Tuan Lebai Hashim Abd. Rahman-Padang Lebar Jempol.
4) Tuan Haji Muhammad - Jempol.
5) Tuan Syeikh Abdul Karim Mandili - Mekah.
6) Tuan Ismail Fathani-Mekah
7) Tuan Syeikh Syed Amin Qutbi-Mekah.
8) Tuan Syeikh Syed 'Alwi 'Abbas Maliki -Mekah.
9) Tuan Syeikh Syed Hussin Abdulghani Pelembang-Mekah.
10) Tuan Syeikh Syed Ahid Idris Bogor-Mekah.
11) Tuan Syeikh Syed Muhammad Ali Maliki-Mekah.
12) Tuan Syeikh Syed Abdul Qadir Mandili-Mekah.
13) Tuan Syeikh Syed Haji Abdullah Haji Sijang-Bekas Qadhi Port Dickson dan lain-lain.

Perkhidmatan beliau sebagai guru.

1) Sekolah Rendah Khairiat Arfiah Mekah pada tahun 1945.
2) Madrasah Majidiah Batu Kikir N.S pada tahun 1947-1948.
3) Sekolah Arab Persekutuan Melayu Kluang Johor pada tahun 1949-1952.
4) Sekolah Melayu Jempol dan Batu Kikir N.S pada tahun 1952.
5) Sekolah Agama Menengah Tinggi Negeri Sembilan pada tahun 1962-1965.
Selain itu beliau banyak menerima jemputan untuk mengajar di surau-surau kampung.

Perkhidmatan dengan kerajaan Negeri Sembilan.

1) Guru Agama 1952.
2) Penolong Nazir Pelajaran Agama Daerah Kuala Pilah 1953-1956.
3) Nazir Pelajaran Agama Negeri Sembilan 1956-1965.
4) Pegawai Pelajaran Agama N.Sembilan 1965-1973.
5) Pengelola Pelajaran Agama N. Sembilan 1974-1977.
6) Dilantik semula sebagai Pengelola Pelajaran Agama pada 12/05/1977 hingga 31/03/1981.
Beliau bersara terus dari jawatan kerajaan pada 01/04/1981.

Penulisan beliau.

1) Penyusun Kitab Al Kulilmujib pada kifiat-kifiat beramal dengan Surah Yassin yang mujarab.
2) Penulis Makalah-Makalah dan khutbah-khutbah untuk Jabatan Agama Negeri Sembilan.

Selain itu beliau banyak menduduki sebagai ahli jawatankuasa di beberapa tempat.Beliau juga adalah salah seorang jemaah hakim musabaqah Al-Quran dan juga hakim musabaqah tahfiz Al-Quran.Beliau pernah menganggotai jawatankuasa menyusun undang-undang pentadbiran hukum syarak Negeri Sembilan.

Dato' Haji Mustaffa Bin Haji Ahmad pernah dipilih sebagai Tokoh Ma'al Hijrah Negeri Sembilan.Beliau juga dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Negeri Sembilan pada tahun 1987.Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir sewaktu ingin menghadiri mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan pada tahun 1993 berusia 71 tahun di rumah kediamannya di Taman Dato' Wan, Seremban.Jenazahnya telah disemadikan di tanah perkuburan Batu Kikir bersebelahan dengan kubur isterinya yang meninggal dunia sebelum beliau.Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh kedua-duanya dan dimasukkan bersama orang-orang yang beriman.Al-Fatihah.

1 comment:

MoHdiAR said...

salam admin.

sedikit pertanyaan: adakah nama tokoh ini telah diabadikan kepada sebuah sekolah agama di serting tengah. Sek. Men. Agama Dato' Haji Mustaffa, Batu Kikir Negeri 9