Sunday, February 22, 2009

Menyingkap Kisah Warigh-Warigh Menuang.


Pada 20/02/2009 bersamaan hari Juma'at, rumah penulis telah dikunjungi oleh seorang warigh yang senior iaitu Haji Adenan Bin Sulaiman.Kisah beliau telah dipaparkan serba sedikit dalam tulisan lalu yang bertajuk Warigh Menuang Yang Penting.Haji Adenan sampai selepas waktu Maghrib untuk berkongsi serba sedikit kisah warigh-warigh Menuang.
Bermula dengan cerita Dato' Ujang Bin Menuang iaitu Dato' Menteri Hakim, Haji Adenan memaklumkan bahawa Dato' Ujang adalah orang Melayu pertama dalam Malayan Civil Service (MCS).Dato' Ujang juga adalah orang Melayu pertama menjadi Pegawai Daerah Perlombongan di Kuala Lumpur.Seterusnya Dato'Ujang menjadi Pegawai Daerah Lipis, Pahang di bawah naungan Sultan Pahang.Kediaman Dato'Ujang di Lipis Pahang juga pernah didiami oleh Dato' Akhir Zaman Abdul Rahman iaitu orang yang bertanggung-jawab dalam menyelesaikan beberapa masalah tanah di kawasan Juaseh, Rembang Panas dan sebagainya.Kini Dato' Akhir Zaman Abdul Rahman telah pun meninggal dunia.
Selanjutnya Haji Adenan memaklumkan bahawa gelaran Dato' Menteri Hakim boleh dituntut oleh Dato' Abdul Rahman Bin Deli yang kini menjadi Ketua Kampung Juaseh dan Pengerusi Masjid Juaseh.Dato' Abdul Rahman Bin Deli merupakan adik kepada Dato' Haji Zainal Bin Deli dan beliau lebih dikenali dengan panggilan Dojang.Namun apakah maklumat yang diberi ini boleh diterima atau tidak masih menjadi persoalan.Ini disebabkan gelaran tersebut dikurniakan oleh pihak istana dan bukannya melalui keturunan.
Selain daripada itu, Haji Adenan memaklumkan bahawa beberapa nama warigh Menuang yang senior dan penting tidak harus dilupakan begitu sahaja.Antara nama-nama yang disebut oleh beliau ialah Haji Nasamuddin Bin Ahmad ( bapa mertua Wan Omar Bin Wan Ariffin),Almarhum Udo Mat Aris (Tokey pam minyak Ampangan) dan juga Zakaria Osman (Bomba Negeri Sembilan).Beliau juga memaklumkan tentang pemergian Abang Jalal ke rahmatullah ( Jalalludin Bin Kasim) akibat sakit saraf pada 5/12/2008.Abang Jalal adalah saudara kandung Haji Salleh Bin Kasim (Sgt. askar Melayu) tinggal di Rembang Panas.
Menyingkap kisah Haji Adenan Bin Sulaiman, beliau pernah mendapat anugerah sebagai "top salesman" dalam penjualan kereta di Syarikat Wearn Brothers, Pudu, Kuala Lumpur suatu ketika dahulu.Beliau bersama Wearn Brothers selama 12 tahun menjual kereta-kereta berjenama Austin, Opel,Morris dan lain-lain.
Mengikut cerita dari Haji Adenan, panggilan Menuang hanyalah satu gelaran yang bermaksud "berkahwin dalam lingkungan warigh" dan bukanlah satu nama khas Menuang Karim.Kemungkinan ada kebenarannya kerana tiada siapa yang dapat memberi kepastian tentang panggilan Menuang itu sendiri yang kini menjadi persoalan.Mungkin juga ia adalah satu tanggapan beliau sahaja memandangkan persoalan ini tiada siapa yang dapat menjawabnya.Haji Adenan juga memberitahu bahawa beliau sebenarnya mempunyai 4 orang adik beradik iaitu Adenan,Maad,Nizar dan Zubir.Namun kehendak Illahi, ketiga-tiga adiknya meninggal dunia di zaman pemerintahan Jepun, maka tinggallah beliau yang juga dipenggil sebagai "Pak Ungga" ataupun yang tunggal.
Akhir sekali Haji Adenan mencadangkan agar ditubuhkan satu yayasan,pertubuhan ataupun satu badan "Menuang Karim" agar ia dapat menjadi satu badan yang membolehkan segala sumbangan untuk memajukan anak-anak Menuang Karim terlaksana.Pertemuan penulis bersama Haji Adenan berakhir pada pukul 11.30 malam dan beliau meminta izin untuk beredar kerana ingin meneruskan tugasnya sebagai pemandu teksi walaupun sudah berumur 73 tahun.Sama-samalah kita doakan agar Haji Adenan diberikan kesihatan yang berpanjangan dan juga ribuan terima-kasih diucapkan kepada beliau atas kesudiannya datang untuk berkongsi cerita demi warigh-warigh Menuang.

No comments: