Tuesday, April 21, 2009

Utusan Malaysia Paparkan Perhimpunan Warigh Menuang.

KELUARGA

Perhimpunan keluarga enam generasi


SEBAHAGIAN daripada waris Menuang Karim yang menghadiri perhimpunan keluarga enam generasi tersebut.


Bukanlah satu tugas yang mudah bagi menganjurkan sebuah perhimpunan keluarga. Namun dek kerana sayangkan pertalian yang amat berharga segala kepayahan dan kesusahan sanggup diharungi.

Begitulah azam Maznah Husein yang begitu optimis mahu menemukan sanak saudara dan ahli keluarga waris Menuang Karim yang tidak pernah ketemu. Dan akhirnya hasrat Maznah terlaksana apabila perhimpunan keluarga enam generasi yang dirancang menjadi nyata.

Saat itu terang Maznah tiada kata-kata yang mampu diluahkan lagi selain memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi. Dengan izin Tuhan rancangan perhimpunan Jejak Kasih Warigh Menuang Karim dapat direalisasikan pada penghujung tahun lalu. Daripada 1,580 waris Menuang Karim, seramai 500 orang ahli keluarga daripada enam generasi berjaya dikumpulkan.

"Saya akui bukanlah satu tugas yang mudah untuk mengadakan sebuah pertemuan keluarga sebegini. Namun apabila saya fikirkan kebaikan pada saya dan yang lain akan peroleh saya berusaha juga untuk menjayakanya.

"Dan alhamdulillah dengan izin Tuhan saya dapat melakukannya," katanya ketika ditemui dalam satu pertemuan baru-baru ini di ibu kota.

Sambung Maznah yang juga merupakan setiausaha perhimpunan tersebut meskipun pada mulanya dia hampir berputus asa, namun dia bersyukur kerana sepupunya, Hanif Salleh banyak membantu.

"Kita nak cari senarai nama anak saudara, pakcik, makcik, nenek, atuk bukanlah satu tugas yang mudah. Dua tahun saya ambil masa untuk menghasilkan salahsilah keluarga ini.

"Bukanlah satu tugas yang mudah. Selesaikan salahsilah baru saya terfikir mahu mengadakan perhimpunan ini.

"Saya dan Hanif berbincang dan memikirkan cara terbaik untuk menjayakan perhimpunan ini.

"Kami mula menelefon setiap seorang dan memberitahu mengenai perkara tersebut. Apa yang melucukan, ada antara mereka yang tidak kenal kami pun. Tapi setelah saya menerangkan satu per satu, barulah mereka mengerti.

"Lebih menggembirakan hati saya proses pelaksanaan perhimpunan itu hanya memakan masa dua bulan sahaja," ujarnya.

Pertemuan yang menarik

Menyingkap semula perhimpunan tersebut, sambil tersenyum kata Maznah, saat pertemuan itu pelbagai perkara lucu berlaku.

"Semasa pertemuan tersebut apa yang mencuit hati ialah ada antara mereka yang saling mengenali. Apabila bertemu masing-masing terkejut.

"Baru tahu sebenarnya saling bersaudara. Bayangkan kalau tidak lakukan perhimpunan sebegini sampai bila-bila pun tidak akan tahu perkara tersebut," katanya.

Perhimpunan yang diadakan di Sekolah Sri Jalan Dato Kelana Ma'mor, Seremban, Negeri Sembilan itu berjalan dengan lancar. Kata Maznah, pelbagai acara dilakukan bagi memastikan semua yang hadir berpuas hati.

"Seboleh-bolehnya saya mahu memastikan perjumpaan pertama ini memberi satu kenangan terindah buat semua yang hadir. Macam-macam acara kita lakukan antaranya sukaneka.

Jelasnya perhimpunan keluarga tersebut akan dilakukan sebagai acara tahunan kelak.

Malahan pihaknya juga bercadang untuk menubuhkan Yayasan Menuang bagi membantu waris-waris dalam menjalani kehidupan dalam bidang perniagaan, pendidikan dan sebagainya. Maklumat mengenai generasi keluarga ini boleh diperoleh di http://menuangkarim.blogspot.com.

p/s:artikel dipetik dari Utusan Malaysia 22/04/2009.

No comments: