Saturday, December 26, 2009

Selamat Ulangtahun Pertama Jejak Warigh Menuang.

Pada hari ini 27/12/2009 bersamaan dengan 10 Muharam 1431H, genaplah setahun perhimpunan Warigh Menuang Karim. Dalam usia semuda ini, berbagai-bagai pahit manis yang dirintangi demi memperkukuhkan persaudaraan antara warigh-warigh yang ada. Tidak dapat dinafikan dalam mewujudkan satu gagasan kekeluargaan yang erat, bukanlah satu kerja yang mudah apatah lagi bila menghadapi berbagai-bagai jenis dan ragam manusia. Bak kata pepatah, "Rumah Dah Siap, Tapi Pahat Masih Berbunyi".Inilah dia lumrah dalam kehidupan selagi kita yang dilahirkan ini bergelar manusia, tidak akan pernah sunyi daripada kesilapan, tohmahan, kritikan, cacian, pujian dan sejak azali lagi manusia itu dilahirkan sebagai manusia yang tak akan pernah berpuas-hati. Sememangnya untuk memuaskan hati semua orang bukanlah sesuatu yang mudah kerana manusia itu dilahirkan dengan berbagai-bagai ragam.
Pada hari ini juga, genaplah rasanya setahun Blog Warigh Menuang Karim ini beroperasi untuk menjadi penghubung silaturrahim di antara warigh-warigh yang ada. Ada yang mencemuh, ada yang memuji dan ada juga yang tidak ambil kisah sepanjang kewujudan blog yang tidak seberapa ini. Mengikut pengamatan penulis dalam masa setahun menghidupkan blog ini, tidak ada apa-apa yang dapat dibanggakan kerana kurangnya respon daripada pembaca-pembaca yang ada. Ini termasuklah tiadanya bahan-bahan yang boleh dikongsi bersama sebagai sokongan untuk menjadikan blog ini sebagai satu wadah penyebar maklumat aktiviti-aktiviti warigh-warigh yang ada. Tidak dinafikan juga ada di antara warigh-warigh yang cuba memberikan sedikit input tetapi nisbahnya amatlah mendukacitakan. Mungkin juga kerana terlalu sibuk dengan tugas-tugas seharian, maka kita lupa untuk bersama-sama memperjuangkan dan meneruskan agenda perhimpunan jejak keluarga Warigh Menuang.
Sebagai manusia biasa, penulis juga tidak lepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan dalam menukilkan entri di blog ini. Dengan rasa rendah hati, penulis ingin memohon seribu ampun kemaafan kepada semua warigh-warigh Manuang Karim sempena ulangtahun Perhimpunan Warigh Menuang Karim yang pertama ini. Penulis juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada warigh-warigh yang turut sama menyumbang bahan-bahan untuk blog ini.Rasanya sudah cukuplah setahun penulis memerah minda untuk menjadikan penulisan dan paparan bahan-bahan sebagai tatapan warigh-warigh yang ada, baik yang jauh ataupun dekat. Sebagai mengakhiri penulisan dalam blog Warigh Menuang Karim, sekali lagi penulis memohon agar diampunkan segala dosa kesalahan yang ada dan berdoa agar hubungan kekeluargaan yang dipupuk terus dirahmati Allah swt.

"Selamat Menyambut Ulangtahun Pertama Perhimpunan Warigh Menuang"
"Selamat Menyambut Tahun Baru 2010"

No comments: