Sunday, November 7, 2010

Coretan Sepanjang Perhimpunan Warigh Menuang Karim Kali Ke-2

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Batu Kikir pada pagi Juma'at berjalan lancar dengan menggunakan Lebuhraya LEKAS.Sampainya di Pekan Batu Kikir, sudah kelihatan "bunting" perhimpunan Warigh Menuang Karim digantung sepanjang jalan sehingga ke tapak perhimpunan.
Selepas menunaikan solat Juma'at di Masjid Taman Anggerik bersama warigh-warigh yang lain, kami memulakan kerja untuk rehearsal di Asrama Anak-Anak Yatim Jempol Bakti, Batu Kikir sambil melakukan kerja-kerja untuk menyiapkan pentas, hiasan dan lain-lain.Ramai warigh-warigh yang terlibat dalam menyediakan persiapan untuk perhimpunan pada 6hb. November 2010.
Pada malam harinya, kami mengadakan BBQ di rumah Almarhum Hj Mohammad Salleh yang dihadiri oleh beberapa warigh.Perbualan malam itu sungguh menghiburkan sehingga tidak sedar jam sudah menunjukkan lebih pukul 12 malam.
6hb. November pagi, semua warigh-warigh yang terlibat dalam menyediakan persiapan sudah berkumpul sejak dari pukul 7.00 pagi.Warigh-warigh yang lain mulai sampai untuk mendaftarkan diri sambil beramah mesra dengan saudara-saudara yang sudah lama tidak bertemu.Sebelum acara bermula pada pukul 11.30 pagi, dewan sudah dihiburkan oleh kumpulan Rebana Anak Bochek yang dijemput khas dari Seremban. Detik 11.30 sudah sampai, maka kedua-dua pengacara majlis iaitu Puan Linda Hashim dan Nor Amelia Farina memulakan tugas mereka dengan kata-kata selamat datang sambil berpantun.
Majlis dimulai dengan bacaan selawat ke atas Nabi s.a.w. yang dipimpin oleh Saudara Mohd Hanif Mohd Salleh dengan diikuti oleh semua hadirin.Kemudian bacaan tahlil dan doa selamat dipimpin pula oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Zuhaidi Bin Hj Abd. Wahab.
Setelah selesai, kedua-dua pengacara menjemput pula Tuan Pengerusi majlis iaitu Y.Bhg. Dato' Dr. Mohd Awal Bin Dato' Hj. Nordin menyampaikan ucapan.Kemudian, ucapan dari Penaung Perhimpunan Jejak Kasih Warigh Menuang Karim iaitu Y.Bhg Dato' Hj. Mohammed Bin Husien menyusul.
Acara diteruskan lagi dengan tayangan slide show pengenalan kepada warigh-warigh Menuang yang banyak berjasa dipertontonkan sambil diulas oleh Saudara Mohd Hanif Bin Hj. Mohd Salleh.Antara tokoh-tokoh yang ditayangkan ialah Y.Bhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd Anwar Bin Hj Mohd Nor (Bekas PAT), Tan Sri Dato' Seri Mohd Shahrom Bin Dato' Hj Nordin(Bekas PTD), Almarhum Dato' Hj. Zainal Bin Deli(Ketua Polis N.S & Perak), 3 tokoh ulama, Almarhum Dato' Hj Mustaffa Bin Hj. Ahmad, Almarhum Tuan Guru Hj. Abd. Majid Bin Hj. Abd Karim, Dato' Hj Mohammed Bin Husein dan tidak ketinggalan juga seorang penyanyi terkenal iaitu Wan Aishah Bte. Wan Ariffin.
Seterusnya majlis menjemput pula Kol. Mohd Yasin Bin Usop untuk memberi penerangan mengenai penubuhan Yayasan Kebajikan Warigh Menuang Karim.Pelancaran Yayasan tersebut telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd Anwar Bin Hj. Mohd Nor sambil disaksikan oleh ratusan warigh-warigh yang hadir termasuk juga wartawan dari Utusan Malaysia.
Jam hampir ke pukul 1.00 tengahari, maka majlis meminta semua warigh-warigh berkumpul untuk sesi photography. Kemudian semua warigh-warigh diminta berjemaah untuk solat Zuhur dan seterusnya menikmati makan tengahari yang disediakan.
Pukul 2.30 petang, majlis bermula dengan cabutan bertuah sambil pemberian hadiah kepada warigh-warigh yang jatuh harijadinya pada 6hb. November 2010.Selesai sudah cabutan bertuah, majlis ditutup pada pukul 3.30 ptg. dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Saudara Mohd Hanif Bin Hj. Mohd Salleh. Alhamdulillah, majlis perhimpunan telah dapat disempurnakan dengan jayanya dengan dihadiri oleh lebih 500 warigh-warigh dari seluruh negeri.

No comments: